SEREMBAN: “Saya menerima hakikat dia sudah tiada lagi, tetapi berharap guru yang merotannya tidak dihukum kerana kematian itu bukan salahnya,” kata nenek kepada Chan Qi Xian, 9, murid tahun tiga sebuah sekolah di Gemas yang mati beberapa jam selepas dirotan gurunya kerana tidak menyiapkan kerja rumah.
Nenek mangsa, Leong Yue Hua, 70, berkata mangsa pernah memberitahunya dia menghadapi masalah untuk memberi perhatian ketika belajar di sekolah dan sering mengadu sakit kepala.
“Tidak sangka masalah itu serius. Rupanya itu petanda dia menghidap penyakit bahaya. Qi Xian seorang murid pintar ketika tahun satu, namun prestasi akademiknya merosot apabila memasuki tahun dua dan tiga.
“Guru berkenaan juga sentiasa mengambil berat terhadap Qi Xian dan abangnya. Dia juga datang melawat selepas kejadian itu,” katanya di sini, semalam.
Kematian seorang murid itu terjawab apabila bedah siasat mendapati kanak-kanak itu mati akibat pendarahan dalam otaknya.
Hasil bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) itu turut mengejutkan ahli keluarga Chan Qi Xian yang sebelum ini tidak mengetahui keadaan kesihatan mangsa.
Difahamkan, mangsa dan abangnya tinggal bersama nenek mereka di Kampung Baru Gemas kerana ibu bapanya bekerja di Singapura.
Bapa mangsa, Chan Teen Fat, 40, berkata dia tidak menyedari keadaan kesihatan anak keduanya itu.
“Saya tidak tahu dia mempunyai masalah pendarahan dalam otak. Tiada siapa pun dalam keluarga syak kerana dia kelihatan sangat aktif.
“Kejadian itu (guru merotan anaknya) sangat malang...saya tidak mahu menyalahkan sesiapa terhadap kematiannya,” katanya ketika ditemui selepas menuntut mayat Qi Xian di HTJS di sini semalam.
Menurutnya, dia dimaklumkan oleh doktor anaknya mati kerana pendarahan dalam otak.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian murid itu adalah akibat pendarahan dalam otak.
myMetro: 3 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan