Ahad, 5 April 2009

Kembalikan martabat bahasa Melayu - KGGMMB

KUANTAN 4 April - Kerajaan perlu mengembalikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan ilmu di negara ini sekiranya hendak menjayakan gagasan Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Mohd. Arshad berkata, satu bangsa Malaysia yang tulen dan utuh akan hanya dapat diwujudkan melalui satu bahasa yang dapat difahami serta dituturkan oleh semua orang.

Beliau berkata, pelaksanaan gagasan itu pula akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya ada satu bahasa rasmi yang mantap untuk urusan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

Dalam konteks Malaysia katanya, bahasa rasminya ialah bahasa Melayu yang sudah terbukti boleh ditutur dan difahami oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Saya bersetuju dengan gagasan tersebut. Namun, untuk pelaksanaannya, mesti ada satu bahasa rasmi yang mantap dalam urusan pentadbiran dan pendidikan bagi membentuk jiwa bangsa.

"Maka itu, bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa pengendali. Martabatkan kembali bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu, bahasa pertuturan dan bahasa pentadbiran.

"Hanya satu bahasa dapat melahirkan satu bangsa Malaysia yang tulen dan utuh," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Mohd. Sabri diminta mengulas mengenai gagasan 'Satu Malaysia' yang dilontarkan oleh Najib dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri semalam.

Dalam ucapan itu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat bersama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Mengulas lanjut, Mohd. Sabri berkata, KGGMMB sememangnya mengalukan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri dan berharap negara akan lebih sejahtera di bawah pentadbiran beliau.

Malah katanya, pihak kesatuan turut menyifatkan ucapan Najib semalam sebagai langkah proaktif dalam misi beliau untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik.

"Kita mengucapkan tahniah di atas pelantikan Najib. Harapan kita supaya negara lebih sejahtera di bawah pentadbiran beliau," katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 April 2009

Tiada ulasan: