Rabu, 1 April 2009

Lagi kesatuan sambut baik pendidik aktif dalam parti

KUALA LUMPUR: Guru Kumpulan A sudah cukup matang dan mampu bersikap profesional ketika menjalankan tugas di sekolah sekiranya mereka dibenarkan bergiat aktif dalam politik, kata Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Jemale Paiman.

Katanya, guru berkenaan diyakini akan berpegang kepada etika perkhidmatan pendidikan dan memahami peraturan ditetapkan, sekali gus melaksanakan tanggungjawab seimbang serta saksama tanpa dipengaruhi perjuangan ideologi politik masing-masing.

Sambil menegaskan guru kini berfikiran terbuka, beliau berkata, ketetapan melarang guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik wajar dimansuhkan kerana ia disifatkan sebagai fahaman lama.

“Bagaimanapun, untuk memastikan pelaksanaan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kelak, garis panduan dan kawalan atau pemantauan khusus berkaitan perkara ini perlu disediakan.

“Namun jika boleh, pengurusan sekolah dielakkan daripada terbabit (bergiat aktif dalam politik) kerana dikhuatiri dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara seimbang nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Hashim Adnan, berkata pembabitan secara aktif dalam politik akan membolehkan guru terbabit menyumbangkan idea langsung dan membuat perbincangan terbuka dengan pemimpin negara.

“Peluang itu akan menjadi platform yang baik untuk menyampaikan harapan dan pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan pendidikan negara. Bagaimanapun, guru tetap tidak wajar terbabit dengan kegiatan politik terlalu serius,” katanya.

Di KUANTAN, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad, berkata guru dapat membezakan antara tugas menyampaikan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar dan tanggungjawabnya kepada parti politik dan kepentingan masyarakat.

“Dakwaan guru tidak sesuai berpolitik kerana dikhuatiri membawa kesan negatif kepada pelajar adalah tidak tepat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Harian Online: 1 April 2009

Tiada ulasan: