KUALA LUMPUR - Bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditangguhkan pada awal sesi persekolahan baru-baru ini akan diketahui Jun ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, walaupun tempoh PIBG seluruh negara bermesyuarat tamat pada penghujung bulan Mac namun penetapan mengenai kadar bayaran itu tidak dibincangkan.
Bagaimanapun pihaknya yakin, ia akan tetap dibincangkan dan diputuskan pada bulan Jun ini.
"Kadar yang ditetapkan oleh sekolah mengikut keperluan, kemampuan ibu bapa dan aktiviti yang hendak dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan pembayaran yuran PIBG bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih setiap kali musim baru persekolahan.
Ia juga sebagai usaha untuk menyelaraskan bayaran yuran PIBG yang dilihat tinggi dan berbeza-beza antara sekolah.
Kosmo Online: 1 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan