Rabu, 1 April 2009

Alimuddin sokong guru berpolitik dengan syarat

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Cadangan membenarkan guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik boleh dilaksanakan, tetapi perlu dikawal bagi bagi memastikan tumpuan perkhidmatan mereka tidak terjejas, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau menyokong cadangan itu yang disuarakan Menteri Pelajaran yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu.

“Sekiranya Kabinet meluluskan cadangan itu, sudah tentu pelaksanaannya akan berserta syarat dan mekanisme khusus, termasuk guru mesti mendapatkan persetujuan daripada ketua jabatan.

“Selain itu, ketua jabatan juga berperanan memantau tingkah laku guru di sekolah supaya sentiasa bertugas secara profesional dan mematuhi etika perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, sebagai berkata cadangan untuk membenarkan guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik tidak sesuai dilaksanakan kerana ia dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah.

Ismail menegaskan, sesetengah guru mungkin taksub dengan parti disokong sehingga wujud sikap berpuak, sekali gus menjejaskan pelajar.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan juga tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat.

Alimuddin berkata, cadangan itu melambangkan keyakinan Hishammuddin terhadap kemampuan guru untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui kegiatan politik.

Berdasarkan sejarah, katanya, sebelum era merdeka, guru barisan hadapan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara dan terus memainkan peranan penting serta berpengaruh dalam arena politik tanah air pada awal zaman kemerdekaan.

Bagaimanapun, katanya, pembabitan itu semakin berkurangan dan akhirnya guru Kumpulan A dilarang bergiat aktif dalam politik berdasarkan Perintah Am yang dikuatkuasakan pada pertengahan 1980-an.

Sementara itu di TAIPING, Hishammuddin berkata beliau melontarkan cadangan guru dibenar aktif berpolitik berikutan banyak dakwaan, kononnya kebanyakan guru pada masa ini tidak menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, seseorang guru hanya dibenar aktif berpolitik di luar sekolah dan dilarang terbawa-bawa dalam pengajaran mereka atau dikenakan tindakan tata tertib.

"Saya memang menunggu perbahasan sihat mengenai isu ini," katanya.

Berita Harian Online: 1 April 2009

Tiada ulasan: