Ahad, 5 April 2009

Soal Jawab: Peluang pendidik dampingi masyarakat



Alimuddin Mohd Dom

Kebebasan berpolitik bolehkan guru curah idea bernas demi kebaikan parti

Mengapakah guru kumpulan A ini tidak dibenarkan aktif dalam politik ketika ini?

Kakitangan kerajaan Kumpulan A termasuk guru dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) tidak dibenarkan terbabit secara aktif di dalam politik. Ini menepati syarat mengikut Perintah Am Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246 yang berkuat kuasa pada Jun 2002, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan juga tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahu pun di luar waktu pejabat.

Bagaimanapun, pada masa sama guru bukan siswazah masih terus dibenarkan bergiat aktif dalam politik mengikut Perintah Am ditetapkan dengan syarat mereka mendapat kebenaran ketua jabatan masing.

Apa pandangan Datuk mengenai saranan supaya guru Kumpulan A ini dibenarkan aktif dalam politik?

Pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno lalu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah mengesyorkan supaya guru kumpulan ini dibenarkan aktif dalam politik, dengan alasan guru dapat mengeluarkan idea kerana mereka juga adalah kelompok yang rapat dengan masyarakat.

Dalam kenyataannya itu, beliau menyifatkan pengorbanan, sifat dedikasi, kecekalan, niat yang luhur serta sumbangan guru semakin dipinggirkan dan menyebabkan ada di antara mereka yang menjauhkan diri dan terus meninggalkan perjuangan Umno.

Saya bagi pihak warga pendidik, berasa bangga di atas pandangan dikemukakannya kerana seperti dinyatakan beliau, guru ini dapat memberi idea dan pandangan bernas, kepakaran mereka dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi parti. Bagi saya, ini satu pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan guru terhadap negara.

Jika kita lihat, sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah awal kemerdekaan dulu, golongan guru boleh dikatakan kumpulan yang aktif dalam usaha memerdekakan negara dan seterusnya bergiat cergas di dalam politik selepas negara mencapai kemerdekaan, yang mana guru dapat memberikan idea untuk kemajuan negara.

Tetapi pada pertengahan 1980-an, Perintah Am itu sudah dikuatkuasakan guru Kumpulan A tidak dibenarkan bergiat aktif.

Pada masa sama, saya menjangkakan sebelum Hishammuddin melontarkan saranan itu, sudah pasti beliau sudah buat kajian mendalam, di antaranya menerusi pemimpin politik dan pemerhatian beliau sejak berkecimpung dalam bidang politik.

Apakah larangan itu masih relevan sekarang?

Seperti kita tahu, di dalam Perintah Am itu, larangan supaya kumpulan guru itu tidak dibenarkan aktif dalam politik adalah supaya mereka dapat memberi tumpuan khusus terhadap tugasan harian. Ini disebabkan sebagai pendidik, tanggungjawab utama mereka mendidik pelajar di sekolah.

Bagaimanapun, seperti kenyataan akhbar Menteri Pelajaran, beliau masih membuka saranannya itu untuk dibincangkan secara mendalam, iaitu oleh mereka yang berkaitan dalam bidang pendidikan. Oleh itu, sudah tentu akan ada banyak pandangan diberikan. Bagi saya satu perkembangan sihat di negara kita.

Apakah Datuk melihat kemungkinan saranan itu dijadikan satu dasar yang seterusnya menyaksikan guru kumpulan A akhirnya bergiat dalam politik?

Bagi saya, selepas beliau (Hishammuddin) mengusulkan perkara, ia akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) terlebih dulu. Hanya selepas itu, syor itu jika diluluskan, akan dibawa pula ke mesyuarat Kabinet yang menjadi Jawatankuasa Tertinggi pembuat dasar di negara kita. Jika diluluskan Kabinet, pihak kami selaku pelaksana kepada dasar kerajaan, akan melaksanakan perkara itu. Tetapi pada masa ini, ia masih lagi satu saranan.

Andai saranan itu diterima sebagai satu dasar, tidakkah Datuk melihat saranan itu boleh menjejaskan tumpuan terhadap kerjaya utama mereka sebagai pendidik di sekolah?

Jika Kabinet meluluskannya, sudah tentulah pada pandangan saya, mereka mengambil kira pandangan beberapa perkara sebelum ini dapat dilaksanakan, termasuk dari sudut golongan pendidikan itu sendiri.

Seperti juga peranan mereka pada masa dulu, sebenarnya guru jika boleh dikatakan orang paling rapat dengan masyarakat, sentiasa berdamping dengan pelajar dan tahu apa masalah masyarakat, melalui pelajar itu tadi. Misalnya, satu kawasan itu pelajarnya ada banyak penyakit kulit atau kekurangan zat makanan, jadi mereka tahu permasalahan di kawasan itu dan membantu mengikut saluran yang ada.

Kita juga menyedari kebimbangan orang ramai mengenai saranan ini, tetapi perlu diingat, bukan semua dasar itu diluluskan sebegitu mudah. Ia hanya diwujudkan selepas melakukan kajian mendalam. Dalam soal ini, bagi saya, andai saranan itu diluluskan Kabinet, sudah pasti kebenaran guru Kumpulan A ini berpolitik akan disertakan syarat dan peraturan tertentu supaya tugas dan profesionalisme perguruan itu tidak terjejas.

Apakah bentuk mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi memastikan golongan pendidik ini tidak tersasar daripada tugas asal mereka apabila dibenarkan berpolitik?

Andai ia menjadi dasar, sudah pastilah akan ada garis panduan atau mekanisme bersesuaian. Ini seperti memastikan guru hanya boleh terbabit dalam aktiviti politik di luar bidang tugas mereka. Mereka juga tidak boleh terbabit dalam sebarang kegiatan di dalam kawasan sekolah. Selain itu, pemantauan berterusan daripada Ketua Jabatan atau pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah juga boleh dilakukan. Dalam erti kata lain, mereka tidak boleh mengabaikan tugas utama dan tanggungjawab penting mereka sebagai pendidik, misalnya waktu mengajar mereka dan aktiviti pembelajaran berkaitan.

Tidak dinafikan peranan golongan guru sebagai antara kumpulan perintis penubuhan Umno amat besar dan memberi sumbangan penting kepada parti berkenaan. Tetapi bukankah persekitaran guru pada masa dulu amat berbeza dengan sekarang dan tugas mereka jauh lebih mencabar untuk membolehkan mereka aktif dalam politik?

Jika peraturan itu diluluskan, sudah tentulah wujud penilaian yang lebih teliti supaya mereka tidak mengabaikan profesion perguruan mereka dan tidak menimbulkan suasana yang tidak tenteram di kawasan sekolah akibat pembabitan mereka dalam politik.

Bagaimana pula dengan pandangan pihak yang bimbang penyertaan guru dalam politik itu boleh mencetuskan masalah seperti berpuak-puak kerana fahaman parti politik yang berbeza?

Saya yakin saranan dikemukakan Menteri Pelajaran sudah pun mendapat pandangan pro dan kontra. Saya yakin dengan sikap matang dan profesionalisme guru apabila menjalankan tugas mereka dan dapat mengelak daripada menimbulkan sebarang masalah di sekolah.

Apakah Datuk berasakan saranan itu boleh memartabatkan atau menjejaskan pandangan masyarakat terhadap golongan pendidik?

Jika kita lihat pada perkembangan semasa, bukan semua kumpulan kakitangan awam tidak dibenarkan bergiat aktif dalam politik. Pada masa sama, kalau kita lihat peraturan semasa, ia bukanlah satu masalah kerana masih ada yang dibenarkan aktif dalam politik, tetapi masih terikat dengan syarat dan peraturan ditetapkan.

Buat masa ini, memang ada guru aktif dalam politik. Tetapi mereka ini bukan siswazah. Jadi sekiranya saranan itu diterima Kabinet, sudah tentu pemantauan berterusan akan dilaksanakan untuk mengelakkan timbulnya masalah seperti berpuak-puak di kalangan guru. Oleh itu, saya menjangkakan, sudah pasti ada garis panduan disediakan sekitarnya cadangan itu diterima kerajaan.

Tetapi, perlu diingat, andai saranan itu diluluskan, saya yakin bilangan guru yang terbabit dalam politik ini, amatlah kecil. Samalah seperti kumpulan guru bukan siswazah yang terbabit dalam politik. Saya yakin, secara keseluruhannya, bilangan mereka yang menyertai politik ini boleh dikira dengan jari dan ia tidak akan menjejaskan keseluruhan profesion perguruan itu.

Berita Harian Online: 5 April 2009

Tiada ulasan: