Mohd Nazri Dollah
KOTA KINABALU: Isteri kepada anggota Darul Islam, Mohd Nazri Dollah, 32, yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jumaat lalu, berharap Kerajaan Pusat menyambung semula perkhidmatan suaminya sebagai guru.
Normahan Komlan, 26, dari Batu Dua, Jalan Apas, Tawau, berkata beliau bersama tiga anaknya berusia empat hingga tujuh tahun mahu memulakan hidup baru selepas tiga tahun berpisah.
"Setakat ini, suami belum memaklumkan tarikh sebenar beliau akan kembali ke Sabah.
"Beliau seorang yang penyayang dan komited terhadap kerjanya sebagai guru, oleh itu saya harap perkhidmatannya disambung semula selepas dibebaskan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Mohd Nazri yang berasal dari Pendang, Kedah, mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan, Tawau sebelum ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2006, bersama enam lagi anggota Darul Islam Sabah.
Beliau adalah seorang daripada 13 tahanan ISA yang dibebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.
Normahan yang juga guru agama di kampungnya berkata, pembebasan suaminya dan tahanan lain membuktikan Najib adalah pemimpin adil dan membuat keputusan bijak demi kepentingan rakyat, termasuk keluarga tahanan.
"Saya dan keluarga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana membebaskan suami saya pada hari pertama beliau memegang jawatan.
"Pengumuman beliau itu adalah detik yang sangat membahagiakan kami dan akan dikenang sepanjang hayat," katanya.
Normahan berkata, anak bongsu mereka baru berusia enam bulan ketika suaminya ditahan dan sering menangis kerana tidak pernah berpisah dengan bapanya.
Katanya, keadaan itu memaksa beliau dan anak-anak berpindah ke rumah keluarga suami di Pendang selama enam bulan dan melawat suami sekali dalam seminggu atau dua minggu,
"Kami harap anggota masyarakat tidak memandang serong terhadap suami saya selepas ini dan berilah peluang kami membina hidup baru," katanya.
Berita Harian Online: 6 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan