Khamis, 5 November 2009

Elaun pengawas periksa biar sama

MUSIM peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjelang lagi. Senarai nama guru yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan sudah diumumkan. Sudah menjadi tradisi ramai guru menolak menjadi pengawas peperiksaan jika banyak sekolah yang berdekatan.

Bayaran pengawasan untuk sekolah berhampiran rendah berbanding tugas yang menjangkau sebulan. Namun, di sesetengah negeri, tugas pengawasan menjadi rebutan di kalangan guru, malah menjadi tradisi di mana guru secara sukarela memohon tugasan ini.

Permohonan sukarela ini kerana guru berkenaan mendapat bayaran khas dan perbatuan yang menjangkau ribuan dan lebih, sepanjang tempoh pengawasan itu. Pendapatan mereka sepanjang pengawasan ini mencapai empat kali ganda berbanding di setengah negeri lain.

Oleh itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia sepatutnya memandang berat perkara ini. Sepatutnya semua guru ditempatkan kurang dari 25 kilometer (km) atau semua ditempatkan lebih dari 25km. Bukan sebahagian kurang dari 25 km dan sebahagian lebih 25 km. Biarlah tuntutan perjalanan antara semua petugas peperiksaan adil.

Seelok-eloknya, tuntutan perjalanan bagi petugas peperiksaan yang terdiri daripada penyelia, penyelia kawasan, ketua pengawasan dan pengawasan dibatalkan.

Bukan menjadi rahsia bahawa penyelia oleh Jabatan Pelajaran Negeri mencapai lebih 100km sehari semata-mata kerana ingin menuntut lebih.

Tuntutan perjalanan sepatutnya ditukar kepada elaun sidang. Saya fikir wajar jika petugas dibayar RM25 bagi sidang pagi atau petang dan RM50 jika bertugas pada sidang pagi dan petang. Tuntutan elaun sidang adalah lebih adil kepada semua petugas.

Saya berharap Kementerian Pelajaran membuka mata terhadap masalah bayaran elaun yang timbul setiap tahun.



PEGAWAI PRIHATIN,

Pulau Pinang.

Berita Harian Online: 5 November 2009

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa tuntutan SPM 2009 Selangor masih lagi tertunggak sedangkan keputusan SPM 2009 bakal di umumkan minggu ini...

Unknown berkata...

saya serik dah nak mengawas SPM lagi.. saya dah 3 tahun berturut menajadi pengawas SPM, tuntutan sgt lambat diterima, thn 2010 ni sorry la

Abd Malik Ahmad berkata...

Pengawas SPM adalah jawatan yang diberikan secara paksa kepada guru. Guru yang ditugaskan dipaksa pula mencari pengganti jika dia tidak dapat mengawas.
Kebelakangan ini guru-guru merasakan dikerah bekerja seperti lembu sedangkan tuntutan bayaran tidaklah seberapa. Ikutkan hati memamang tidak berbaloi di kala rakan lain sudah mula bercuti.
Konon nak jimat sehingga tuntutan hanya berdasarkan giliran bertugas. Sungguh tidak adil.Apa pihak lembaga fikir, ink printer kami free ke, minyak petrol kami diberi percuma ke? Buatlah belanjawan betul2 tentang peperiksaan2 besar yang bakal berlangsung saban tahun. Kalau dah tuntutan/upah tidak berbaloi, lebih baik kakitangan lembaga sahaja yang mengawas peperiksaan. Kerja banyak di pejabat hanya satu alasan kuna sahaja.