KUALA LUMPUR 23 Nov. - Mulai tahun depan, guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) akan mengikuti kelas bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terpilih untuk melihat kaedah pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah itu sekali gus membolehkan guru-guru terlibat mengambil contoh kaedah yang digunakan di SJKC untuk dibawa ke sekolah masing-masing.
Beliau bagaimanapun berkata, guru-guru tersebut tidak perlu meniru semua kaedah yang digunakan, sebaliknya mengambil kaedah tertentu yang bersesuaian dengan sistem di SK sahaja.
"Langkah baru itu akan dijadikan sebagai latihan untuk bakal guru dan yang telah menjadi guru. Biar mereka pergi ke sekolah itu dan masuk ke dalam bilik darjah bagi tempoh tertentu untuk melihat sendiri.
"Dengan cara ini, mereka dapat lihat dengan lebih teliti dan terperinci, ini lebih penting. Saya tak nak guru-guru hanya hadir ceramah cara untuk mengajar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian terperinci dibuat berhubung kaedah pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains di SJKC yang terbukti lebih berkesan.
Arahan mengadakan kajian itu berikutan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di SJKC baru-baru ini begitu memberangsangkan bagi dua mata pelajaran berkenaan berbanding sekolah-sekolah lain.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, guru-guru besar di SK juga diminta untuk mengadakan lawatan ke SJKC yang terpilih dan seterusnya mendapatkan maklumat lanjut daripada guru-guru sekolah berkenaan berhubung kaedah terbaik yang boleh digunakan.
Beliau memberitahu, langkah tersebut merupakan kaedah pertama yang akan digunakan oleh kementerian berbanding sebelum ini iaitu guru-guru hanya diberikan latihan teori di institut-institut perguruan.
"Biasanya, guru-guru wajib mengikuti latihan dalam perkhidmatan di Institut Pendidikan Guru Negara (IPGN), manakala guru besar pula di Institut Aminuddin Baki, belum pernah mereka ditempatkan di SJKC.
"Sehubungan itu, saya akan meminta pegawai-pegawai di bahagian pendidikan guru untuk menyediakan rangka latihan itu supaya tahun depan kita akan memulakan program tersebut," kata beliau.
Ditanya mengenai perbezaan kaedah yang jelas di antara SK dengan SJKC, kata beliau, perbezaaan itu adalah dari segi latih tubi.
Beliau menambah, SJKC menerapkan kaedah latih tubi dan buku latihan yang banyak, tetapi di SK, kementerian bimbang ia akan menyebabkan murid bosan terhadap mata pelajaran tersebut.
Namun, tambahnya, jika pendekatan itu yang terbaik, kementerian akan mengkaji dengan lebih mendalam termasuk melihat aspek penerimaan daripada ibu bapa dan juga murid itu sendiri.
"Pihak jabatan sedia maklum dengan latih tubi itu, tetapi kita sering mendapat aduan daripada ibu bapa, maka kita perlu tengok kaedah yang terbaik supaya tidak akan timbul isu," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 24 November 2009
2 ulasan:
Salam semua,
Saya hairan dan pelik kenapa kita nak tiru SJK C. Tahu tak kenapa peratus mereka meningkat dalam sains dan matematik.... jawapannya mudah sahaja. Selepas pemansuhan PPSMI, mereka mengajar subjek tersebut dalam Bahasa Ibunda mereka. Itu sahaja. Sebelum ini, semasa PPSMI, mereka lebih kurang dgn kita shj. Tolong hentikan kerja membuang masa ini. TQ
Satu lagi kenapa ada soalan UPSR versi SJKC, SJKT dan SK. Adakah soalan yang sama atau berbeza ? Rasanya versi SJKC /T lebih mudah dari Versi SK. Betul tak LPM
Catat Ulasan