Jumaat, 6 November 2009

'Tawar program latih guru bahasa Jepun'

Oleh Rosniza Mohd Taha

PROGRAM Praperkhidmatan Bahasa Jepun perlu diperkenalkan bagi meningkatkan jumlah tenaga pengajar bahasa berkenaan di sekolah menengah.

Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Dr Zahedah Abdul Hafiz, berkata program latihan guru itu wajar dilaksana dengan kerjasama universiti di Jepun dan ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi program dicadangkan dilaksana enam tahun itu, katanya, pelajar akan menjalani program asasi, tahun pertama dan akhir di IPGKBA, sementara tahun kedua dan ketiga di universiti Jepun.

Beliau turut mencadangkan seramai 15 calon program itu diambil setiap tahun, sekali gus membolehkan tambahan 15 sekolah lagi melaksanakan pengajaran bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga setiap tahun.

“Seramai 116 guru bahasa Jepun dihasilkan menerusi program sama di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam sejak 1990 hingga 1998 dan daripada jumlah itu, hanya 29 masih berkhidmat di sekolah.

“Mulai 1999 pula, IPGKBA dipertanggungjawab melatih guru tempatan mengajar bahasa Jepun menerusi Kursus Dalam Perkhidmatan Program Guru Bahasa Jepun dan 44 guru daripada program itu kini kini berkhidmat di sekolah, sementara 15 masih dalam latihan.

“Dengan hanya 73 guru bahasa Jepun berkhidmat di 76 sekolah yang melaksanakan pengajaran bahasa itu ketika ini, IPGKBA mencadangkan Program Praperkhidmatan Bahasa Jepun diwujudkan sebagai penyelesaian bagi memastikan kelas bahasa Jepun di sekolah dapat ditambah setiap tahun,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pelajaran yang merancang meningkatkan jumlah sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah menengah harian yang melaksanakan pengajaran bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga setiap tahun.

Kenyataan itu yang memetik Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sebagai berkata pertambahan kelas bahasa Jepun itu bergantung kepada jumlah tenaga pengajar dihasilkan menerusi program pensiswazahan guru bahasa Jepun JPA serta latihan guru di IPGKBA.

Zahedah berkata, buat masa ini, Kursus Dalam Perkhidmatan Program Guru Bahasa Jepun akan diteruskan dengan pengambilan 15 guru setahun bagi memastikan pengajaran bahasa itu dapat diperluas ke sekolah harian, selain sebagai mata pelajaran elektif di SBP.

Namun, katanya, komitmen keluarga guru berpengalaman yang menyertai program itu diambilkira dalam proses penempatan tempat mengajar, sekaligus boleh membuatkan jumlah sekolah yang melaksanakan pengajaran bahasa Jepun tidak seimbang bagi setiap negeri.

“Sebab itu, IPGKBA mencadangkan program baru ini ditawarkan kepada lepasan SPM kerana mereka belum banyak komitmen dan lebih mudah menerima jika ditempatkan di negeri yang masih kurang melaksanakan pengajaran bahasa Jepun di sekolah.

“Menerusi kerjasama dengan universiti di Jepun pula, program itu dapat melahirkan tenaga pengajar lebih mantap kerana mereka bukan saja mempelajari bahasa, malah memahami budaya masyarakat negara matahari terbit itu, sekali gus dapat memberi pengetahuan lebih luas mengenainya,” katanya.

Berita Harian Online: 6 November 2009

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa tidak diberi peluang kepada
bekas lulusan ijazah atau diploma
dari universiti & kolej diJepun.Mungkin ada diantara mereka yang berminat cuma tidak tahu caranya.Setelah bertahun2 bertungkus lumus mengepalai kilang2di Msia ini mungkin mereka sudah bosan dan ingin bertukar arah.Saya MATJIN dari batch7 ` look east policy programme `

Tanpa Nama berkata...

bagaimana pula jika guru KPLI yang memiliki ijazah dari universiti di jepun (tajaan dasar pandang ke timur) ingin menyertai program seumpamanya?

Tanpa Nama berkata...

bagaimana pula dengan lepasan spm yang ingin menjadi guru bahasa jepun?