Jumaat, 29 Januari 2010

20 SBT perlu kekal cemerlang

ALOR GAJAH 28 Jan. - Kesemua 20 buah sekolah yang memasuki senarai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, perlu mengekalkan pencapaiannya pada pemilihan akan datang.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya tidak mahu sekolah yang terpilih dalam kelompok SBT tahun ini merosot pula pencapaiannya pada tahun depan.

''Sementara itu, sekolah yang tidak berjaya tahun ini, boleh mencuba pada tahun depan kerana kita menyediakan 30 tempat SBT manakala 50 buah lagi pada 2012,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat Parlimen Alor Gajah di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada 227 pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dalam kawasan Parlimen Alor Gajah.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai 20 SBT dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Mohd. Puad menambah, semua jenis sekolah boleh bersaing untuk dikategorikan sebagai SBT kerana pemilihan dibuat bukan berasaskan pencapaian akademik semata-mata.

''Banyak kriteria lain yang kementerian ambil kira berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia,'' katanya.

Antaranya, jelas beliau, tahap kebersihan, pencapaian kokurikulum, landskap dan hubungan dengan sekolah antarabangsa.

Utusan Malaysia Online: 29 Januari 2010

Tiada ulasan: