Rabu, 20 Januari 2010

Guru kena bijak kendali aktiviti luar


MUHYIDDIN memberi kata semangat kepada pelajar Sekolah Menengah Chung Ling yang terselamat dalam tragedi bot karam ketika melawat keluarga mangsa yang terkorban di Tanah Perkuburan Cina Hokkien Batu Gantung, Pulau Pinang, semalam.

GEORGETOWN: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak pengurusan sekolah supaya bijak mengendalikan semua aktiviti kokurikulum bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin dan mengelakkan sebarang tragedi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya sudah menyediakan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi menjalankan aktiviti luar.

"Kami sudah tetapkan dan pastikan langkah keselamatan diambil. Jadi terpulang kepada kebijaksanaan pihak pengurusan terutama guru mengendalikan aktiviti kokurikulum.

"Kementerian mempunyai 10,000 sekolah dan sekarang pun saya pasti ada aktiviti sedang dijalankan. Kami tidak boleh memantau semua aktiviti mereka," katanya selepas melawat keluarga seorang mangsa tragedi perahu naga karam, Goh Yi Ziang, 17, di tempat penyimpanan mayat Tanah Perkuburan Cina Hokkien Batu Gantung di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam tragedi Ahad lalu lima pelajar Sekolah Menengah Chung Ling dan seorang guru terkorban selepas perahu naga mereka terbalik dipukul ombak lalu melanggar tongkang di perairan Pantai Macallum di sini.

Dalam lawatannya itu, Muhyiddin turut memberikan sumbangan kepada keluarga Goh bagi menguruskan upacara pengebumian.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta mereka bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Terdahulu, Muhyiddin meluangkan kira-kira 20 minit melawat tempat kejadian.

Ditanya sama ada guru yang terkorban dalam kemalangan itu, Chin Aik Siang, 28, akan menerima pencen, Muhyiddin berkata, ia tertakluk kepada peraturan pencen dan pihaknya akan menyemak perkara berkenaan.

"Ini perkara teknikal kerana Chin baru saja mengajar. Kami kurang pasti sama ada warisnya boleh menerima pencen atau tidak," katanya.

Sementara itu, Wee meminta semua pihak tidak menuding jari kepada pengetua Sekolah Menengah Chung Ling berhubung kejadian itu kerana ia masih dalam siasatan polis.

"Melalui siasatan awal, Pengetua, Chuah Yau Chou, ada mengingatkan semua pelajar dan guru supaya memakai jaket keselamatan apabila menyertai sukan air.

"Saya berharap kejadian ini memberi pengajaran kepada semua pihak dalam memastikan kejadian tidak berulang dan ia adalah satu kemalangan," katanya.

Wee berkata, berdasarkan kenyataan daripada mangsa yang selamat, kesemua pelajar dan dan guru adalah perenang yang handal tetapi gagal menyelamatkan diri berikutan ombak kuat.

Berita harian Online: 20 Januari 2010

Tiada ulasan: