Sabtu, 16 Januari 2010

Program ijazah sarjanamuda pendidikan dihenti

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pengambilan mahasiswa bagi program ijazah sarjana muda pendidikan pengkhususan sekolah rendah oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah dihentikan sejak 2007 dengan pengambilan terakhir ialah pada Jun 2006.

Tindakan itu berikutan keputusan Kabinet yang mahu IPTA tidak lagi menganjurkan program berkenaan sebaliknya hanya menawarkan ijazah pendidikan untuk sekolah menengah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Radin Umar Radin Sohadi berkata, kumpulan terakhir 256 mahasiswa program itu bakal menamatkan pengajian mereka pada Jun dan Ogos tahun ini.

"Selepas tempoh itu, IPTA tidak lagi mengeluarkan graduan ijazah sarjana muda pendidikan pengkhususan sekolah rendah.

"Jadi, kenyataan bahawa IPTA tidak sepatutnya menawarkan program ijazah berkenaan kini tidak lagi menjadi isu kerana program itu sudah dihentikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan sebagai reaksi kepada gesaan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi iaitu IPTA tidak sepatutnya menawarkan program tersebut kerana lepasan IPTA terbabit perlu mengajar di sekolah menengah.

Mohd. Puad berkata, penyediaan program itu di universiti-universiti adalah antara punca utama lepasan ijazah sarjana muda berkenaan berdepan kesukaran untuk ditempatkan di sekolah-sekolah.

Ini kerana, menurut Mohd. Puad, penempatan ke sekolah-sekolah rendah dikhaskan kepada lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) kendalian Kementerian Pelajaran.

Radin Umar berkata, pada masa ini 256 penuntut mengikuti pengajian program itu iaitu 97 orang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 57 penuntut di Universiti Malaya (UM) dan 95 penuntut di Universiti Sains Malaysia (USM)).

Beliau menafikan terdapat lebihan penuntut untuk program itu sebaliknya berkata, pengambilan dilakukan berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Jelasnya, program itu mula ditawarkan pada 2002 ketika Kementerian Pengajian Tinggi masih belum ditubuhkan.

Katanya, pada Julai 2006, Kabinet memutuskan program itu dihentikan dan mengarahkan IPTA hanya menumpukan program ijazah pendidikan untuk sekolah menengah.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2010

1 ulasan:

pak long berkata...

salam...
macam tak der keserasian jer antara satu sama lain