LAHAD DATU 9 Jan. – Sebuah blok bangunan yang menempatkan dua bilik asrama serta bilik warden Sekolah Kebangsaan Sri Pantai di Tungku, dekat sini musnah dalam kebakaran petang semalam.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Abu Bakar Taraji berkata, tiga buah rumah guru yang terletak berhampiran turut musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pada pukul 2.15 petang itu.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana semua murid telah pulang bercuti sempena hujung minggu.
“Jumlah kerugian akibat kebakaran itu belum dipastikan dan kita masih menyiasat punca kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dua buah jentera bomba bersama tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu telah bergegas ke lokasi kejadian.
Abu Bakar berkata, pihaknya yang sampai pada pukul 3.10 petang berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya tiga jam kemudian.
“Selain menggunakan air yang dibekalkan daripada jentera bomba, pasukan kita juga terpaksa menggunakan air laut berhampiran dalam usaha melakukan kerja-kerja memadam api,” katanya.
Sementara itu, katanya, beliau berharap pihak sekolah dapat melakukan pemantauan berterusan di kawasan-kawasan sekolah selain memastikan segala peralatan elektrik berada dalam keadaan baik.
Utusan Malaysia Online: 10 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan