KUALA LUMPUR 27 Jan. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom hari ini menjelaskan, pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dibuat secara menyeluruh dan dinilai oleh satu jawatankuasa berdasarkan formula dan kriteria yang ditetapkan.
Katanya, terdapat 100 buah sekolah yang akan diumumkan sebagai SBT sepanjang tempoh tiga tahun ini iaitu 20 sekolah bagi tahun ini, 30 pada tahun depan dan baki 50 buah untuk 2012.
"Jadi mana-mana pihak tidak perlu bimbang jika tidak tersenarai sekarang.
"Lagipun pemilihan adalah menyeluruh dan berdasarkan formula serta mengambil kira pencapaian dan kejayaan setiap sekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan persatuan guru dari Sarawak dan Sabah yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan kerana tiada sebuah pun sekolah dari kedua-dua negeri itu tersenarai dalam 20 SBT berkenaan.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai 20 SBT dalam usaha mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.
Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2010
1 ulasan:
apa sudah jadi? tanya aku pada diri sendiri. terasa muak dan bosan. ini semua setelah mendengar dan membaca berita semasa yang berkaitan dengan sekolah berprestasi tinggi. dengar cerita ada pula sesetengah sekolah yang merasa tidak patut dan adalah tidak adil dan merasakan sekolah mereka dipinggirkan. semua adalah kerana tidak terpilih menjadi sekolah berprestasi tinggi [SBT].
ini semua lebih kepada hasad. berbaur dengki. kita tidak boleh berfikiran sebegitu rupa. tidak boleh diterima sama sekali. perkara pertama yang sepatutnya berpucuk dan terdetik adalah perasaan persaingan dan ingin bersaing untuk menjadi lebih bagus. bukannya dengki.
apa akan jadi jika perasaan negatif sebegini boleh dibiarkan menular di sekitar dan jika dibiarkan akan menular di dalam institusi ilmu dan pendidikan negara kita ini?
lebih lebih lagi jika diperingkat awal seperti di sekolah rendah dan menengah. sekolah yang tidak terpilih untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi tidak patut dan tidak boleh berasa marah, terpinggir atau lebih teruk lagi, iri hati dan dengki. tenaga pengajar hendaklah mengikis perasaan sedemikian sama sekali. apa yang perlu ialah memupuk dan menanam sifat dan sikap untuk mencapai prestasi sebaik ataupun melebihi prestasi dan pencapaian sekolah sekolah yang terpilih.
adalah wajar jika dikatakan yang sekolah sekolah yang telah terpilih ini memang telah berusaha sebaik mungkin selama ini dan amat berhak untuk diberi peluang mendapat pengiktirafan. wajar untuk mendapat segala macam kemudahan dan kelebihan yang ditawarkan untuk pengiktirafan sedemikian.
perkara yang penting di dalam konteks perbincangan ini ialah untuk melahirkan generasi masa depan yang bagus bagus belaka. sifat diabaikan, iri hati dan dengki mestilah tidak diberi langsung ruang untuk bertapak, apatah lagi untuk menjadi tanggapan asas di dalam institusi pelajaran anak anak kita.
hanya sifat dan perasaan ingin dan perlu bersaing untuk mendapat tempat yang lebih baik yang perlu dipupuk dan diajar oleh para pendidik kepada anak didik.
jika semangat persaingan sihat dapat ditanam, nescaya segala penyakit dan jurang sosial yang ada sekarang ini dapat dirapatkan atau dijadikan lebih baik dimasa hadapan. kita perlu berjaya dalam menyampaikan mesej ini dengan berkesan.
kata mindabudaya
Catat Ulasan