Isnin, 4 Januari 2010

Fokus: Angkara kerja luar

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


GURU seharusnya memberi tumpuan utama menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

BPG cadang laksana semula sijil layak mengajar supaya guru utamakan P&P

WALAUPUN cuti sekolah akhir tahun masih berbaki tiga atau dua minggu, lazimnya kebanyakan guru sudah pun kembali bertugas bagi menguruskan pelbagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baru.

Apabila persekolahan bermula, pelbagai tugas tambahan pula perlu dilakukan golongan itu, selain tanggungjawab hakiki mereka iaitu mengajar.

Antaranya terpaksa melaksanakan pelbagai kerja pekeranian seperti merekod maklumat murid, menerima yuran, pinjaman buku teks dan tidak kurang pula menguruskan perkara berkaitan hingga peringkat pejabat pelajaran daerah serta negeri.

Lambakan tugas tambahan itu antara faktor menjadikan profesion itu kini kian mencabar dan tidak kurang pula menyifatkannya membebankan hingga kesatuan menerima pelbagai aduan guru mengalami tekanan kerja.

Di sebalik pelbagai keluhan akibat kekangan tugas dan waktu itu, segelintir guru pula dikatakan masih mempunyai masa untuk membuat ‘kerja luar’ bagi menambah pendapatan hingga ada antaranya melebihi gaji bulanan.



Pelbagai kerja luar dilakukan, antaranya membuka kelas tuisyen, menjalankan jualan langsung, sistem perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), mencetak buku dan menceburi pelbagai peluang perniagaan lain.

Senario itu membimbangkan kerana dikhuatiri bukan saja mengganggu tumpuan guru terhadap tugas hakiki, malah menjejaskan usaha kerajaan yang mahu golongan pendidik mempunyai tahap pendidikan tertinggi.

Dengan minat berganda terhadap kerja luar berbanding berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan profesionalisme, mampukah Kementerian Pelajaran mencapai sasaran 50 peratus guru sekolah rendah dan 100 peratus di sekolah menengah memiliki ijazah?

Sikap sesetengah guru yang lebih mementingkan kerja luar itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pendidik lain yang bersungguh-sungguh dan melakukan pelbagai pengorbanan bagi meningkatkan kelayakan profesionalisme hingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Seorang guru sekolah rendah berkelulusan sarjana dari Rawang, Selangor, yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Ju, berkata beliau kecewa kerana tidak mendapat insentif sewajarnya berbanding guru terbabit perniagaan jualan langsung.

“Banyak pengorbanan dilakukan guru yang melanjutkan pengajian pasca siswazah termasuk bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang disayangi, malah ada yang membuat pinjaman bank.

“Segelintir guru “malas” menyambung pengajian bagi meningkatkan tahap akademik mereka, sebaliknya lebih rajin menjalankan perniagaan jualan langsung atau MLM yang turut menjejaskan tumpuan terhadap tugas.

“Dengan pendapatan tambahan diperoleh, ada antara mereka yang hanya berjawatan gred DGA29 tetapi mampu memiliki kereta mewah, sedangkan kami lulusan sarjana dan PhD hanya terdaya memandu kereta buatan tempatan.

“Malah gaji bersih selepas melunaskan pinjaman sekadar cukup menampung perbelanjaan harian,” katanya menerusi e-mel kepada Berita Harian.

Pada dasarnya, kementerian tidak menghalang guru menambah pendapatan menerusi perniagaan atau sumber lain selagi ia tidak menjejas mutu dan kelancaran tugas hakiki mereka iaitu mengajar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Zulkifly Mohd Wazir, bagaimanapun berkata kelonggaran itu diberikan tertakluk kepada syarat tertentu termasuk mendapat kebenaran ketua jabatan dan dalam tempoh tertentu.

Sebagai contoh, katanya, guru mengajar di kelas tuisyen diberi tempoh empat jam seminggu bagi memastikan mereka memberi tumpuan utama terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.

Beliau berkata, guru yang gagal mematuhi ketetapan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Pekeliling Am Jabatan Perkhidmatan Awam, bermula dengan amaran hingga langkah terakhir dilucutkan jawatan jika berterusan gagal memberi komitmen terhadap tugas hakiki.

“Kementerian maklum sesetengah guru terbabit dalam perniagaan terutama jualan langsung bertujuan menambah pendapatan, namun kebanyakannya tetap komited dan mengutamakan tugas hakiki.

“Dalam hal ini, pentadbir sekolah perlu memastikan guru terbabit mematuhi syarat dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika mereka gagal mengikutinya atau mutu perkhidmatan terjejas kerana sibuk menguruskan kerja luar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pula kini meneliti pelaksanaan semula sijil layak mengajar sebagai instrumen bagi memastikan hanya pendidik benar-benar komited kekal dalam profesion keguruan.

Pengarahnya, Dr Khair Mohamad Yusof, ketika ditemui berkata pensijilan itu sebahagian cadangan dalam rangka hala tuju baru BPG yang dibentangkan pada Seminar Pendidikan Guru di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, menerusi pensijilan itu, keupayaan guru dinilai dalam empat aspek, iaitu p&p, pengurusan kelas, hubungan dengan masyarakat serta profesionalisme.

Sambil menjelaskan cadangan itu masih di peringkat kajian awal dan akan mengambil kira pandangan umum, beliau berkata, guru yang memenuhi keperluan pensijilan itu akan dianugerahkan sijil layak mengajar untuk tempoh tertentu dan perlu diperbaharui secara berterusan.

“Pensijilan guru pernah dilaksana sebelum ini, dikenali sebagai lesen mengajar dan BPG bercadang mewujudkannya semula bagi memastikan guru benar-benar menumpukan kepada p&p serta pembangunan profesionalisme secara berterusan.

“Menjadi kebimbangan apabila wujud kecenderungan sesetengah guru melakukan kerja yang terkeluar dari tugas utama p&p terutama jualan langsung dan MLM hingga menjadi budaya di sesetengah sekolah dan boleh menyebabkan perkhidmatan mereka terjejas.

“Jika pelaksanaan semula pensijilan ini diluluskan, ia membolehkan kita secara perlahan-lahan meminggirkan golongan yang tidak mempunyai jiwa pendidik daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

Berita Harian Online: 4 Januari 2009

2 ulasan:

pak long berkata...

salam...
sampai bila masalah ni nak setel....dah sinonim kerja perkeranian jadi keja cikgu..
ohhhh...aku masih bizzz

dari Guru Kepada Cikgu berkata...

mereka yg tak buat kerja luar pun... banyak yg tak komited kat skolah......