Selasa, 12 Januari 2010

Sekolah St. George lahir ramai tokoh terkenal

PULAU PINANG 11 Jan. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St. George yang merupakan antara sekolah tertua di negara ini, mampu berbangga kerana berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang.

Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar sekolah itu, Petra Oon berkata, pelbagai pencapaian dan kejayaan bekas pelajarnya membuktikan kehebatan sekolah yang telah wujud sejak 125 tahun itu.

"Sekolah ini membuktikan ia mempunyai pelajar berkualiti setelah berjaya melahirkan ramai pemimpin dan bekas pelajar yang berjaya serta terkenal di seluruh negara.

"Beberapa pegawai penilai Kementerian Pelajaran diarahkan untuk memantau dan menilai sekolah ini bagi memastikan sama ada ia boleh meningkat ke satu lagi tahap dengan cara mengukur kejayaan bekas pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-125 sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Ibrahim Mohamed, di sini hari ini.

Menurut beliau, antara bekas pelajar yang mencatat kejayaan dan terkenal di seluruh negara ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; pakar pediatrik pertama negara, Dr. Harbans Kaur Virik dan Ketua Pediatrik Unit Perubatan Universiti Malaya, Prof. Florence Wang.

Selain itu, SMK Perempuan St. George juga melahirkan peguam wanita pertama negara, Lim Beng Hong dan penerbit dan pengarah teater terkenal, Datuk Faridah Merican.

Sementara itu Ibrahim berkata, SMK Perempuan St. George mempunyai rekod pencapaian pelajar yang membanggakan.

Antaranya menduduki tempat pertama di Pulau Pinang dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini.

Beliau berkata, sekolah berkenaan juga menduduki tempat kesembilan di peringkat kebangsaan dalam kategori sama dan tiga daripada pelajarnya adalah antara 10 calon PMR terbaik negara.

"Dalam peperiksaan PMR itu, sekolah ini berjaya mencatatkan 1.16 Gred Purata Sekolah. Gred ini menunjukkan hanya sebilangan kecil pelajarnya mendapat B dan hampir semua mendapat A," katanya.

Utusan Malaysia Online: 12 Januari 2010

Tiada ulasan: