Selasa, 19 Januari 2010

Alasan pindah jejaskan komitmen guru

SERAMAI 23 guru Bahasa Inggeris di seluruh Perak menghadapi tekanan kerana mendapat arahan pertukaran serta-merta tanpa memikirkan kebajikan mereka.

Guru berkenaan ditukarkan tanpa mengira jarak perjalanan membabitkan kos agak membebankan, contohnya melebihi 40 kilometer (KM) dan memakan masa melebihi sejam untuk sampai ke sekolah.

Pertukaran ini juga tidak menitikberatkan faktor usia, kehidupan berkeluarga dan masalah guru terbabit. Rayuan dibuat kepada Jabatan Pelajaran Perak tetapi ditolak.

Apa yang mengecewakan ialah jawapan diberikan iaitu guru perlu memilih antara kerjaya atau keluarga dalam perkara ini; pada satu masa tidak boleh memiliki dua perkara (kerjaya dan keluarga), dan tidak mempedulikan masalah yang sudah diluahkan.

Jika sayangkan suami dan anak, guru diarah letak jawatan. Apa yang menjadi ketidakpuasan ialah semua guru yang ditukarkan mempunyai komitmen tersendiri di sekolah lama dan tempat tinggal iaitu sudah membeli rumah, persekolahan anak, pekerjaan suami/isteri, keadaan kewangan dan kesihatan.

Tempat guru berkenaan digantikan dengan guru yang sama opsyen. Malah, ada guru baru yang masih belum mempunyai tanggungjawab berkeluarga ditempatkan di bandar.

Mengapa mereka diberi keistimewaan ini sedangkan sudah termaktub dalam pekeliling bahawa guru baru perlu ditempatkan di pedalaman?

Kebanyakan guru yang ditempatkan di bandar ialah isteri, suami, anak serta saudara-mara orang Jabatan Pelajaran. Mereka mengetepikan hak guru lain yang lebih memerlukan. Taburan penempatan guru di Perak amat mendukacitakan. Tiada langsung tindakan untuk memperbetulkan keadaan.

Ada guru yang sangat selesa, boleh berjalan kaki ke sekolah lebih kurang lima minit dari rumah. Ada guru yang amat tertekan. Sekolah di luar daerah, menempuh perjalanan melebihi sejam dan duit minyak melebihi RM25 sehari. Di manakah keadilan? Bagaimanakah diri ikhlas berkhidmat jika tidak selesa atau keselamatan terancam di jalan raya?

Guru perempuan pula tidak dapat menguruskan suami dan anak dengan baik sehingga berlaku keretakan rumah tangga. Tiada langsung rasa simpati untuk guru yang menghadapi masalah.

Bukan mahu ingkar arahan tetapi pihak berkenaan perlu rasional dalam membuat tindakan.

Guru masih berpegang teguh pada aku janji, namun jika kebajikan sendiri terabai bagaimana mahu menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Jangan mempertikaikan jika ada guru yang hanya jasad wujud di sekolah, tetapi hati hilang entah ke mana.

Jangan mempertikaikan juga jika ada guru yang membatu tidak mengajar, tidak mengikut arahan, tidak memberikan komitmen, ponteng, perlu di kaunseling dan pelbagai lagi kerenah lain. Ini semua kerana kerenah birokrasi.

GURU TERANIAYA,
Perak.

Berita Harian Online: 19 Januari 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

HENTIKANlah Memindahkan guru yg sedang dilakukan. Yang menjadi mangsa ialah Guru Opsyen Pengajian Melayu. Tahu tak KPM, 15 thn dulu majoriti guru adlh opsyen PMelayu. Mereka ni lah guru YANG mengajar serba serbi. Sains, M3, PJ, SENI, dll. sKR NI, BILA BUDAK-BUDAK OPSYEN M3, SAINS MASUK, GURU-GURU LAMA NAK DITENDANG KELUAR. hANTARLAH GURU-GURU BAHARU NI KE MANA-MANA SAHAJA SEKOLAH YANG KEKOSONGAN GURU. TAK PAYAHLAH NAK DIHANTAR KE SEKOLAH YG DAH CUKU GURU.

Tanpa Nama berkata...

saya turut bersimpati dgn nasib guru trbabit. saya sndiri smpai skrng brjauhan dgn suami merentasi bbrapa negeri. tp demi komitmen, sy cuba tabahkan hati smata2 untuk menabur bakti dlm dunia pndidikan. sy kuatkan smangat utk mendidik pelajar

sy mengharapkan pihak kementerian dpt mempertimbangkan sgla kptusan dngn pnuh keadilan.. sekali sekala turunlah padang.lihatlah sndiri guru2 bekerja keras samada di sekolah atau luar sekolah. pengorbanan mereka tiada tandingannya. wang ringgit mereka tdk berkira sama sekali. apa salahnya memberi reward kpd para guru terutamanya mereka yang lama brkhidmat sbg guru..sesungguhnya apa gunanya title Guru Cemerlang/ Pentadbir Cemerlang sekiranya rumah tangga retak menanti belah..ataupun anak2 di rumah mndpt tempiasnya..

fikir-fikirkanlah