Ahad, 31 Januari 2010

Sekolah, guru dilarang tambah cuti Aidilfitri

Oleh Zainuddin Muhammad
bhkt@bharian.com.my

PPD tolak permohonan berlandaskan arahan pekeliling

KUALA TERENGGANU: Mungkin disebabkan kesilapan kecil, tetapi ketiadaan cuti peristiwa sekolah sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini menyebabkan pentadbir sekolah dan guru kebingungan untuk mendapatkan cuti berkenaan.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada 21 Disember 2009 dan boleh diakses di laman web www.moe.gov.my., sekolah di seluruh negara dibenar mengambil cuti peristiwa tahun ini untuk perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan (Sabah dan Labuan) dan Hari Gawai (Sarawak).

Bagaimanapun, agak mengejutkan bagi banyak pihak apabila cuti peristiwa tidak dibenarkan untuk Aidilfitri.

Berbanding cuti ganti, cuti peristiwa adalah cuti yang boleh diambil sekolah tetapi tidak perlu diganti seperti pada Sabtu yang biasa dilaksanakan selama ini.

Seorang pengetua yang tidak mahu dikenali berkata, majoriti pentadbir sekolah di negeri ini mendapati pekeliling itu agak pelik berbanding sebelum ini.

Pada mulanya, beliau berkata, semua pentadbir sekolah beranggapan berlaku kesilapan pada pekeliling Kementerian Pelajaran itu dan membuat permohonan untuk mendapatkan cuti peristiwa bagi sekolah masing-masing untuk Aidilfitri tahun ini.

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) menolak permohonan cuti peristiwa dengan alasan penolakan itu berlandaskan pekeliling berkenaan.

"Selepas itu, baru kami menyedari pekeliling itu adalah betul dan bukannya kesilapan Kementerian Pelajaran," katanya.

Katanya, cuti peristiwa perlu berikutan Aidilfitri adalah antara perayaan agama yang penting bagi majoriti penduduk di negara ini, terutama di negeri ramai Melayu seperti Kelantan dan Terengganu.

"Dengan majoriti pelajar di Pantai Timur adalah Melayu, ketiadaan cuti peristiwa adalah sesuatu yang pelik tetapi pada masa sama, memberikan cuti itu bagi perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan atau Hari Gawai," katanya.

Seorang lagi pengetua sekolah berkata, keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sebelum ini, tidak pernah ada masalah untuk kami memohon cuti peristiwa untuk hari raya, tetapi saya yakin ini mungkin kesilapan dan kementerian akan dapat mengatasinya.

"Tidak masuk akal jika kementerian dengan sengaja mengecualikan Aidilfitri daripada mendapat cuti peristiwa itu," katanya.

Aidilfitri tahun ini dijangka pada 10 dan 11 September iaitu Jumaat dan Sabtu, dua hari terakhir cuti pertengahan penggal selama seminggu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berikutan keputusan kementerian untuk tidak membenarkan cuti peristiwa pada perayaan Aidilfitri, orang ramai terutama pelajar dan guru sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu kembali bertugas semula pada Hari Raya ketiga iaitu pada Ahad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Berita Harian Online: 31 Januari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Janganlah pcsal cuti raya ni nanti akan ada pihak mempolitik kan nya.Kepada menteri pelajaran fikir2kan lah. Jangan dah terjadi sesuatu atau semua guru dah kearah menyokong pihak satu lagi barulah nak buat keputusan. kasihanilah kpd guru2 yang nk balik beraya jauh.Kpd guru besar atau pengetua kalau benar pekeliling dah keluar tp masih lagi sekolah tak terima telefon ajelah Jabatab Pelajaran Negeri. Kalau pekeliling tu sampai lapas raya camana?