Rabu, 6 Januari 2010

Sayangi Sekolah: Pendekatan sendiri

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my


SUDUT tokoh pemimpin negara diwujudkan bagi membolehkan SUDUT tokoh pemimpin negara diwujudkan bagi pelajar mengenali dan menyingkap sejarah negara.

Muzium mini SMKI pamer warisan budaya, tradisional

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), Jerantut, mempunyai pendekatan tersendiri bagi mempamerkan pelbagai warisan budaya dan tradisional dengan mewujudkan muzium mini budaya.

Pewujudan muzium itu antara lain bertujuan menjadikan koleksinya sebagai bahan rujukan dan sumber maklumat tambahan terutama di kalangan pelajarnya.

Muzium mini itu dilengkapi pelbagai warisan, antaranya alat muzik, peralatan menangkap ikan, pakaian dan bahan hantaran pengantin, pelamin Melayu, sudut bahan tembikar, replika rumah kampung dan alat permainan tradisional Melayu.

Selain itu, foto raja-raja Melayu dan tokoh kemerdekaan, kumpulan wang lama, kelarai dan anyaman tradisional, bahan rempah ratus, sudut kecemerlangan SMKI, batik canting dihasilkan pelajar serta sudut tokoh pemimpin negara.

Pengetua SMKI, Rusma Md Taha, berkata muzium mini budaya itu diwujudkan juga bertujuan mendedahkan pelajar mengenai warisan kebudayaan, selain sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran tambahan.

BATIK canting dihasilkan pelajar SMKI turut dipamerkan. BATIK canting dihasilkan pelajar SMKI turut dipamerkan.

“Pewujudan muzium mini budaya ini berupaya meningkatkan pengetahuan umum pelajar, di samping menggalakkan mereka menghargai warisan kebudayaan negara.

“Bahan dipamerkan disumbangkan pelajar, masyarakat setempat, guru dan sebahagiannya dibeli,” katanya.

Rusma menjelaskan muzium mini itu sebahagian rangkaian kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS), selain perpustakaan, galeri maklumat pencegahan dadah, sudut hasil kerja kreatif pelajar, laman santai, kolam informatif dan tapak riadah.

Sementara itu, Penyelaras PSS SMKI, Habibah Iderus, berkata hasil kerjasama semua pihak sekolah itu berjaya mewujudkan rangkaian kemudahan PSS menyeluruh sebagai saluran maklumat berkesan kepada pelajar.


“PSS sekolah ini juga mempunyai ‘cawangan’ di Perkampungan Orang Asli Sungai Kiol yang lengkap perpustakaan mini dan galeri. Bahannya dikumpulkan dari semasa ke semasa.

“Cawangan ini diwujudkan sebagai kemudahan bagi kira-kira 70 pelajar Orang Asli sekolah kami menggunakan kemudahan itu walaupun rumah mereka jauh dari sekolah,” katanya.

Beliau berkata, sekolah itu mendapat kejayaan berganda tahun lalu apabila muncul juara PSS Peringkat Negeri Pahang dan juara Pendidikan Pencegahan Anti Dadah peringkat kebangsaan.

Berita harian Online: 6 Januari 2010

Tiada ulasan: