UTUSAN: Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pelajaran dalam memperkasakan kokurikulum pendidikan negara?
DR. PUAD: Memang menjadi hasrat utama Kementerian Pelajaran bahawa transformasi pendidikan yang akan dilaksanakan, antara lain untuk memastikan apa yang ada dalam falsafah pendidikan negara. Soal pembangunan modal insan mesti diberikan perhatian khusus iaitu kita tidak mahu lagi murid kita terlalu obses dengan peperiksaan. Ini cukup jelas disebut oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun baru 2010.
Beberapa langkah telah kita lakukan supaya pelajar tidak lagi terlalu obses dengan peperiksaan. Tahun ini misalnya, sukan menjadi elemen wajib di Kementerian Pelajaran. Kita akan memastikan pembinaan sekolah sukan yang baru untuk melatih lebih ramai guru sukan. Guru-guru ini kita akan tempatkan semula di sekolah sekali gus dapat mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini yang mana guru sukan dikongsi oleh beberapa sekolah.
Kita akan pastikan pelaksanaan sukan sebagai satu elemen wajib dan sebagai antara kesungguhan dalam memastikan transformasi pendidikan dapat dilakukan. Sebab...apa yang kita dapati berdasarkan kajian atitud pelajar UPSR 2009 yang pertama kali kita mulakan, adalah sesuatu yang sangat mengejutkan. Hanya enam peratus sahaja murid UPSR itu meminati bidang sukan. Ini amat membimbangkan kerana kita tidak mahu pendidikan kita tidak dapat melahirkan pelajar yang dididik dari awal mengenai potensi berfikir. Sebab kita kena lihat pendidikan adalah berkaitan penyampaian kepada anak-anak. Pelajar hari ini menjadi obses kepada peperiksaan dan ibu bapa pula, ia menjadi satu budaya.
Saya masih ingat kes Tan Hui Lin, seorang pelajar cemerlang PMR yang mana ayahnya terlalu mahukan dia berjaya dalam SPM. Tetapi disebabkan kehidupannya yang susah dan dia mahu membantu ibunya berniaga, ayahnya bertindak menyimbah asid semasa dia tidur kerana terlalu marah. Disebabkan kejadian itu, dia hampir menjadi buta. Ini satu contoh seseorang terlalu obses kepada peperiksaan. Sebab itu, kita mahu mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil semasa SPM kepada 10. Tetapi sebab ada permintaan maka kita benarkan kepada 12.
Tujuannya supaya anak-anak kita tidak terlalu obses kepada peperiksaan tetapi turut melihat kepentingan kokurikulum. Ini kerana soal sahsiah mereka boleh dibina dan potensi mereka boleh dicungkil melalui proses kokurikulum. Sebab itulah, kejayaan kita pada tahun lalu menjadi juara keseluruhan robotik di Pohang, Korea adalah satu contoh bahawa murid-murid kita sebenarnya berpotensi.
Kokurikulum yang menyebabkan mereka lebih berdaya saing. Jadi, kenapa kita tidak mahu memberikan perhatian khusus kepada kokurikulum? Sedangkan, kokurikulum bukan sahaja membina sahsiah pelajar, tetapi juga daya fikir. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang mati sebelah, iaitu hanya mendengar melalui telinga sebelah kiri, tetapi tidak telinga sebelah kanan. Atau dua kaki di belakang dan bukannya kedua-duanya melangkah.
Daya berfikir tidak dapat dibangunkan kerana pengaruh pendidikan akademik sahaja. Jadi, pada saya kokurikulum boleh membantu membina daya fikir. Dengan cara ini, apabila mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), kokurikulum akan menyambung usaha membina sahsiah mereka. Maka barulah dari awal lagi pembinaan itu akan menjamin kita menjayakan usaha untuk membina generasi yang boleh berfikir.
Bagaimana pula di peringkat IPT?
SAIFUDDIN: Sebenarnya kita di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sentiasa memberi penekanan yang cukup tinggi sebagai modal insan bersepadu. Kokurikulum memang mendapat tempat yang besar. Saya fikir perbincangan mengenainya menjadi hangat kebelakangan ini apabila kita melihat berlakunya dua perkembangan. Pertama di Kementerian Pelajaran yang memberikan penekanan baru kepada kokurikulum. Kedua di Kementerian Pengajian Tinggi juga ada dua perkara besar iaitu kita melancarkan dasar sukan IPT. Kita juga melancarkan buku panduan untuk memperkasakan kokurikulum. Jadi secara asasnya, ada pengkayaan dasar dengan dua panduan yang baru ini.
Selain itu, kita juga perlu melihat apakah pandangan alam kita terhadap pembangunan pelajar atau mahasiswa yang holistik dan bersepadu. Dari satu sudut, memang ada kepercayaan bahawa kokurikulum itu penting dan ingin diperkasakan. Tetapi pada masa yang sama, sejauh mana ia menjadi budaya dalam kehidupan seharian. Kalau kita masih mendengar misalnya ada mahasiswa yang merupakan atlet negara tetapi dipertikaikan matlamat mereka di universiti, maka kita sebenarnya masih ada masalah dalam hal ini.
Kalau ada pensyarah yang masih skeptikal dengan beberapa orang aktivis mahasiswa yang begitu aktif dalam kokurikulum, maka ia belum begitu menjadi budaya. Kalau ada pensyarah yang hakikinya di fakulti tetapi kerana dia juga adalah pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), tetapi tidak begitu diambil kira dari sudut akademik, maka ia belum membudaya. Maka ada dua perkara yang perlu diberi perhatian. Satu, dasar itu memang sudah begitu baik dan telah dilaksanakan. Ramai mahasiswa yang mendapat kredit dalam kokurikulum. Tetapi masih ada persoalan dalam membudayakannya.
Sebab itu, kita mengajak seluruh warga IPT agar berfikir secara serius mengenai pembangunan mahasiswa secara bersepadu dengan memperkasakan kokurikulum. Melahirkan lebih ramai atlet bukan sekadar untuk bersukan di IPT, tetapi untuk negara. Apa yang berlaku sekarang adalah universiti menjadi tempat untuk atlet negara belajar tetapi tidak begitu berjaya melahirkan atlet. Berbeza seperti di Amerika Syarikat, atlet dilahirkan oleh universiti. Tetapi kita, mereka sudah sedia menjadi atlet dan mahu melanjutkan pelajaran. Universiti hanya bertindak sebagai hos sahaja tetapi latihan masih lagi dengan Majlis Sukan Negara.
Pusat sukan di universiti hanya menyediakan kemudahan untuk mereka sahaja. Belum sampai ke tahap melahirkan atlet negara. Begitu juga dalam soal kokurikulum. Umumnya masih dalam bentuk menyediakan kebolehpasaran mahasiswa. Kerana itu, kita ada beberapa program yang disediakan. Tetapi kita bukan hanya mahu melihat kebolehpasaran, kita mahu melahirkan pemimpin negara dan korporat dalam sektor masyarakat sivil. Jadi, apabila kita melihat di Kementerian Pelajaran ada satu suntikan baru penekanan yang lebih kuat kepada kokurikulum, kita sambutnya dan mengajak seluruh IPT untuk memperkayakan program-program kokurikulum sedia ada. Mudah-mudahan, kita benar-benar melahirkan mahasiswa bersepadu.
Bagaimana dengan insentif kepada universiti yang berani menonjolkan diri seperti Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini memiliki pasukan bola sepak sendiri dalam Liga Perdana?
SAIFUDDIN: Buat masa ini, universiti bergerak dengan kebijaksanaan dan perancangan masing-masing. Tetapi satu daripada matlamat dalam dasar sukan IPT adalah mereka seharusnya mempunyai dana untuk pembangunan sukan. Ini belum berlaku tetapi dalam perancangan. Matlamatnya, kita mahu mencapai sasaran 30 peratus daripada atlet negara dilahirkan oleh IPT. Ini satu sasaran yang besar dan kita mahu setiap IPTA menjadi pusat kecemerlangan sukan. Mereka diharapkan memilih satu atau dua sukan utama.
Bagaimanapun, semua prasarana sukan disediakan untuk mahasiswa tetapi kita mahu mereka memilih sukan yang boleh diberikan tumpuan. USM misalnya boleh menjadikan bola sepak sebagai pusat kecemerlangan. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sudah ada pasukan hoki dalam liga hoki Malaysia. Sukan bola keranjang pula ramai pemainnya dan kebetulan banyak terdapat di UPM. Jadi, mungkin UPM boleh memberi tumpuan kepada sukan itu. Begitu jugalah di universiti lain.
Berhubung dengan pentaksiran kokurikulum ini, mungkin ada beberapa ibu bapa yang masih kabur terutama kerana nisbah 10 peratus itu terlalu kecil dan penilaiannya juga tidak disertai oleh mereka yang mahir.
DR. PUAD: Sebenarnya memang kita akan rombak sistem pentaksiran kita. Sebab itulah, kita mulakan dengan jumlah mata pelajaran. Rombakan ini juga supaya tidak terlalu banyak mata pelajaran di peringkat sekolah rendah. Sampai orang kata, murid kita bawa beg terlalu berat, sebab semua buku ada di dalamnya. Apa yang kita lakukan adalah memastikan supaya pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan, bukannya satu bebanan. Juga sebagai sesuatu yang benar-benar membentuk keperibadian mereka. Sebab itu sebenarnya kita sudah bincangkan secara terperinci sistem pentaksiran yang baru ini. Cuma, kita belum lagi dapat memutuskan dari segi peratusannya. Sebabnya, timbul banyak perbahasan dan perdebatan, termasuk sama ada penilaian berasaskan sekolah ini pada nisbah 70:30. Sebab itu juga Menteri Pelajaran pada perutusan tahun baru memaklumkan bahawa sistem pentaksiran ini ditangguhkan ke tahun depan.
Kita tetap akan laksanakan sebab kita komited. Maksudnya kita tidak mahu pelajar obses kepada peperiksaan. Penilaian berasaskan sekolah akan menjadi keutamaan kita dan ini akan melibatkan rombakan dan pembetulan. Supaya akhirnya kita dapat melaksanakan apa yang kita sebut sebagai education is fun (keseronokan dalam pembelajaran). Penekanan kepada kokurikulum ini akan diberi perhatian yang serius. Saya tidak boleh memaklumkan sekarang sebab menteri akan mengumumkannya nanti. Kertas itu sudah ada dan dibahaskan dalam pasca Kabinet, tetapi ditangguhkan sebab ada beberapa pandangan baru.
Tentang bagaimana sistem pentaksiran ini boleh dilaksanakan supaya tidak timbul masalah seperti kekeliruan sama ada kepada pihak sekolah, ibu bapa dan sebagainya dan kerana itulah, ia ditangguhkan. Saya ingin katakan bahawa kesungguhan dalam pelaksanaan kokurikulum ini ada. Contohnya kalau kita lihat pada Sukan SEA baru-baru ini, kebanyakan yang menang emas ialah atlet sukan dari sekolah. Seramai 28 atlet yang menyumbang emas itu ialah atlet sukan sekolah kita. Ini satu kejayaan yang besar dan menteri sendiri memberi keyakinan untuk memeriahkan semula temasya sukan MSSM mulai tahun ini seperti penganjuran Sukan Komanwel. Inilah medan terbaik untuk melihat pelajar kita bersaing.
Kokurikulum tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja, ia lebih daripada itu sebab ia sangat luas termasuk badan beruniform. Kerana itu juga kita wujudkan banyak pasukan kadet dan terbaru, kadet bomba di sekolah. Kita akan fikirkan apa lagi badan beruniform yang akan kita kembangkan di sekolah. Ini penting kerana penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum akan menjadi perkiraan dalam sistem pentaksiran baru nanti.
Dalam program-program motivasi di luar seperti perkhemahan dan sebagainya, ia menjadi elemen penting dalam usaha kita memastikan kokurikulum itu akan dapat mengimbangi keinginan kita melahirkan generasi pelajar yang mana mereka adalah tonggak kepada pembinaan negara bangsa.
Dalam sistem pemarkahan di Kementerian Pelajaran, ada gred A dan A+. Jika seseorang pelajar itu mendapat hanya A, adakah 10 peratus daripada kokurikulum itu cukup untuk menyokong mereka ke universiti?
SAIFUDDIN: Kita masih menggunakan nisbah 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum untuk kemasukan ke IPTA. Tetapi ini pun sekarang ada perbincangan yang mana nisbah itu mungkin perlu dilihat semula. Mungkin kokurikulum itu sampai ke tahap 20 hingga 30 peratus. Tetapi proses ini masih memerlukan masa yang lama. Apabila bercakap soal mahu memperkasakan proses kokurikulum di IPTA, ia berlaku dalam dua keadaan. Pertamanya, ia berlaku dalam kurikulum itu sendiri yang mana ketika ini setiap program akademik harus mengikut generic student attribute.
Ada tujuh nilai atau kemahiran insaniah yang harus diterapkan di dalam kokurikulum. Misalnya berfikir secara kritis, etika, moral, berkomunikasi dan sebagainya. Kalau dulu di Fakulti Kejuruteraan, jarang berlaku mahasiswa perlu membuat penyampaian (presentation), maka sekarang ia dimasukkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PNP). Sebab ada kesedaran bahawa komunikasi itu penting, maka bukan sahaja seorang jurutera itu perlu pandai bekerja, tetapi juga boleh berkomunikasi dan sebagainya. Apa yang kita sebut sebagai soft skill atau kemahiran insaniah.
Dalam kokurikulum itu, kita ada lapan teras dengan setiap satunya diukur supaya mahasiswa mendapat kredit. Sebagai contoh kalau mahasiswa kejuruteraan memerlukan 120 kredit untuk bergraduat, sebanyak enam kredit diperuntukkan mereka dari sudut kokurikulum. Ada sesetengah kursus yang boleh sampai lapan kredit. Soalnya sekarang bagaimana kita mahu mengoptimumkan enam atau lapan kredit itu sebab tidak semua kokurikulum di IPTA ada kredit. Itu pun sebenarnya ada perbahasan sebab jika semua diberi kredit di mana pula semangat kesukarelawanan itu. Di mana pula latihan patriotik dan sebagainya. Ini menjadi perbahasan yang berterusan.
Tetapi kita mahu sama ada mahasiswa itu mendapat enam atau lapan kredit dari segi kokurikulumnya, kita mahu walaupun nisbahnya masih 90:10, umpama dia dapat 70: 30. UKM meletakkan perkara ini di hadapan yang mana ia bukan sahaja memberikan kredit untuk kokurikulum, tetapi pelajar yang betul-betul cemerlang, akan beri satu sijil. Kalau mereka mendapat ijazah pertama dalam kejuruteraan, maka dia akan dapat sijil khas dalam bidang kokurikulum untuk mengiktiraf betapa aktifnya dia. Sebab kredit dia tadi sudah enam atau lapan, tetapi dia sudah buat lebih daripada itu. Jadi, dia mendapat kredit melalui sijil tambahan.
Sebelum ini kokurikulum juga merangkumi Seni dan Sukan. Kenapa bahagian ini kemudiannya dipisahkan?
DR. PUAD: Kita kena faham bahawa Kementerian Pelajaran cukup besar. Kita mempunyai kira-kira 12,000 orang kakitangan dan 308,000 orang guru. Sebab itu untuk memastikan kualiti pendidikan meningkat, kita wujudkan bahagian yang lebih khusus. Ada cadangan supaya diwujudkan Majlis Sukan Olimpik Sekolah-Sekolah supaya dapat dipastikan fokus kita kepada sukan ini akan lebih meningkat. Bahagian Pendidikan Khas misalnya, ramai atlet dari kumpulan ini memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa. Dalam sukan pendidikan khas di China misalnya, kita mendapat tempat ketiga. Ini kejayaan yang cukup besar. Sebab itu, kita lakukan pengkhususan kerana mahu memastikan apa yang dihasratkan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu akses kepada pendidikan berkualiti dapat dilaksanakan.
Kita hanya ada beberapa tahun untuk sampai ke tahun 2020. Salah satu perkara untuk mencapai kriteria NKRA ini adalah apabila kita dapat memberikan pendidikan yang berkualiti. Kerana pendidikan itu yang akan menjamin kita memberikan keadilan kepada rakyat. Sebab itu kementerian akan memastikan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu dapat dilaksanakan dan keberhasilannya dapat dipenuhi. Keberhasilan ini antaranya termasuk usaha kita melahirkan sekolah-sekolah yang dipanggil Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kita juga akan memastikan semua sekolah termasuk sekolah harian, di pedalaman, sekolah aliran Cina dan Tamil dan sekolah berasrama penuh bersaing sesama mereka untuk terpilih menjadi 20 buah sekolah pertama yang akan mendapat gelaran SBT. Ia akan diumumkan tidak lama lagi.
Saya pasti ada sekolah harian biasa yang akan mengalahkan sekolah berasrama penuh dan sekolah premier. Sebab penilaian kita tidak lagi berasaskan akademik, sebaliknya berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Ini turut termasuk kejayaan mereka dalam kokurikulum, kebitaraan dalam pasukan beruniform dan kemampuan mereka dalam pelbagai aktiviti. Kita juga memberi kebebasan kepada mereka termasuk mana-mana sekolah yang ingin mengadakan hubungan dua hala dengan sekolah antarabangsa. Saya mengambil contoh, sebuah sekolah di Ba'kelalan, Bario dan Ulu Lebai di Limbang, Sarawak yang memenangi hadiah di peringkat Komanwel. Bagaimana mereka mengadakan hubungan dua hala dengan sekolah di luar negara termasuk pertukaran pelajar, guru dan sebagainya. Sedangkan sekolah-sekolah ini tergolong dalam kategori P3 iaitu jauh di pedalaman.
Menjadi hasrat kita apabila wujud persaingan antara sekolah-sekolah dan sekolah berasrama penuh tidak lagi. Sebaliknya ibu bapa hari ini juga akan memilih sekolah biasa kerana kejayaannya. Minggu lalu saya melawat Sekolah Batu Lintang yang mana seramai 12 orang pelajarnya mendapat 5A dalam UPSR. Tidak seorang pun daripada mereka yang memasuki sekolah berasrama penuh kerana ibu bapa yakin bahawa di sekolah harian biasa sekali pun anak mereka masih mampu kekal sebagai pelajar terbaik.
Salah satu keperluan kokurikulum dalam sistem pendidikan ialah pembangunan modal insan yang menekankan pemupukan semangat patriotik. Tahun ini pula dijadikan tahun inovasi. Jadi, bagaimana elemen-elemen ini diterapkan dalam kedua-dua kementerian ini?
SAIFUDDIN: Elemen patriotisme dan inovasi ini sebenarnya sudah sedia ada, sama ada di dalam kurikulum atau kokurikulum. Kebetulan pula tahun ini dipilih sebagai tahun inovasi. Jika kita melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) misalnya, kita telah memberi banyak kebebasan berbanding ketika AUKU diketatkan pada 1975. Dalam soal lebih patriotisme dan inovasi ini, kita sebenarnya memberikan penghakupayaan baru kepada mahasiswa untuk mereka menentukan sendiri program untuk disertai. Misalnya, kita sekarang membenarkan mahasiswa menghidupkan semula sudut pidato. Kaedahnya, ia perlu disesuaikan dengan lapan teras atau salah satu teras kokurikulum iaitu pengucapan awam. Juga salah satu daripada kemahiran insaniah iaitu berfikir secara kritis.
Kita juga baru menerima kertas cadangan daripada USM untuk membentuk 'Parlimen Mahasiswa' menggunakan model mereka sendiri. Jadi kita galakkan universiti-universiti lain untuk membuat model Parlimen mereka sendiri. Tujuannya, mahasiswa bukan sekadar diberikan pengajaran tentang patriotisme dan digalakkan dengan budaya inovasi, tetapi mereka juga dapat berfikir sendiri sebagai orang yang sudah matang dan bakal bergelar intelektual menerusi program-program yang mereka mahu laksanakan kelak.
Utusan Malaysia Online: 13 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan