TIBA-TIBA timbul isu jawatan pembantu guru berikutan beberapa kemalangan maut yang menimpa pelajar ketika melakukan aktiviti di luar sekolah.
URUS PENDAFTARAN...guru perlu menguruskan sesi pendaftaran dan pembayaran yuran pelajar selain menjadi pendidik.
TIBA-TIBA timbul isu jawatan pembantu guru berikutan beberapa kemalangan maut yang menimpa pelajar ketika melakukan aktiviti di luar sekolah. Terbaru, enam pelajar sekolah menengah termasuk seorang guru di Pulau Pinang maut selepas bot naga yang mereka gunakan untuk latihan mendayung terbalik selepas dipukul ombak besar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu jawatan itu diwujudkan bagi melakukan tugas pengkeranian termasuk mengisi borang dan mengiring murid sama ada untuk acara sukan atau klinik. Dengan nisbah seorang pembantu guru bagi setiap 500 murid, guru dapat bebas daripada beban tidak perlu dan menumpu kepada tugas mengajar.
Ini kerana guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka selain mengajar.
Masalahnya, perlukah jawatan pembantu guru di sekolah diwujudkan? Bagaimana dengan kos untuk jawatan itu, mampukah kementerian atau sekolah membiayainya kerana guru pembantu dianggap profesional? Seorang guru pembantu perlu mempunyai kemahiran memberi rawatan kecemasan, berenang atau menguruskan murid? Guru yang hanya mahu dikenali sebagai Shima, 40, berkata pembantu guru sangat diperlukan terutama menguruskan hal pengkeranian di sekolah.
Menurutnya, masyarakat mungkin menganggap tugas guru ini senang dan hanya mengajar beberapa jam sehari.
"Hakikatnya, guru bukan hanya sekadar mengajar, tapi bertanggungjawab menguruskan pelbagai hal termasuk kerja pengkeranian dan keceriaan sekolah.
"Beban kerja yang bertambah menyebabkan kami selalu pulang lewat ke rumah.
"Selain melakukan kerja di rumah termasuk melayan anak-anak dan suami, terpaksa pula memeriksa buku murid kerana tiada masa berbuat demikian di sekolah," katanya.
Katanya, jika ada guru pembantu, mereka boleh menguruskan pembayaran yuran dan membimbing pelajar dalam persatuan.
"Kadangkala, guru sendiri terpaksa mengeluarkan duit membeli kelengkapan selain mengambil masa pembelajaran bagi menyelesaikan urusan pelajar," katanya.
Dia yang 13 tahun menjadi pengajar mengakui tugas guru membeban dan mencabar kerana melakukan pelbagai tugas yang kadangkala remeh temeh.
"Jika ada sebarang acara seperti sukan, pertandingan, aktiviti kokurikulum, guru akan mengendalikannya. Kerja menceriakan sekolah, melukis mural, menanam bunga termasuklah membeli bunga juga dilakukan guru.
"Kadangkala kami hanya ada masa 20 minit berehat. Itu belum termasuk masalah yang perlu dikendalikan membabitkan ibu bapa pelajar," katanya.
Menurutnya, bagi guru yang menjadi guru kelas kepada pelajar tingkatan tiga dan lima, kerja pengurusan lebih rumit dan meletihkan.
"Bermula dari awal tahun, guru sibuk menguruskan borang yang perlu diisi untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SMP).
"Ia belum disertakan dengan peperiksaan lain yang harus pelajar hadapi.
"Guru dibebani dengan pelbagai tugasan yang remeh sehingga mereka tidak boleh fokus untuk mengajar," katanya.
Justeru, Shima mengakui, pembantu guru adalah sangat diperlukan dan ia perlu disegerakan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan, berkata keperluan terhadap pembantu guru amat mendesak berikutan nisbah guru dan pelajar jauh berbeza.
"Kini, beban guru lebih berat kerana mereka perlu menguruskan pelbagai hal termasuk menyelia, mengurus dan mengiringi pelajar membabitkan kokurikulum," katanya.
Mohd Ali bersetuju dengan cadangan memperkenalkan pembantu guru itu, tetapi ia harus dihalusi sebelum pelaksanaannya.
"Pembantu guru diperkenalkan bagi membantu meringankan beban guru terutama berkaitan pengurusan.
"Tetapi, skop kerja, ruang kerjaya dan tangga gaji pembantu guru itu perlu ada garis panduan.
"Kita tidak mahu pembantu guru kekal di takuk itu tanpa kenaikan gaji atau pangkat," katanya.
Selain itu, katanya, pembantu guru juga perlu mendapatkan latihan dan pendedahan yang baik dan bukan hanya sekadar melakukan kerja pengurusan pelajar," katanya.
Katanya, pembantu guru bukan sekadar menjadi pengiring pelajar dalam aktiviti luar, tetapi perlu mempunyai kemahiran merawat jika berlaku kecemasan, berenang atau kebolehan mengawal pelajar dalam jumlah yang banyak.
Beliau tidak menolak kemungkinan, ibu bapa kini takut untuk membenarkan anak mereka melakukan aktiviti luar selepas beberapa kejadian yang berlaku membabitkan kehilangan nyawa.
"Harapan kita dengan adanya pembantu guru, ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan anak mereka mengambil bahagian dalam aktiviti di luar sekolah.
"Sekolah juga perlu bertanggung jawab dan jangan lepas tangan jika mengambil bahagian dalam aktiviti luar," katanya.
myMetro: 25 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan