Selasa, 12 Januari 2010

Kementerian jamin semua sekolah selamat

TAIPING 11 Jan. - Kementerian Pelajaran hari ini memberi jaminan bahawa semua sekolah di seluruh negara adalah selamat dengan kawalan telah diperketatkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sehubungan itu, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak- anak mereka.

Menurutnya, semua pengetua dan guru besar telah diarahkan meningkatkan kawalan di sekolah masing-masing dan melaporkan kepada polis jika ada perkara mencurigakan.

"Saya memberi jaminan bahawa soal keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan dan pihak sekolah telah diarah mengambil langkah sewajarnya," tegas beliau.

Alimuddin berkata demikian selepas melawat Sekolah Menengah Convent Taiping di sini yang dilempar dengan batu dalam kejadian pukul 3.30 pagi semalam.

Sementara itu, dua gereja iaitu Gereja All Saints dan St. Louis di sini turut dilempar bom petrol.

Menurut Alimuddin, kes serangan itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan ketika ini soal keselamatan para pelajar menjadi keutamaan pihaknya.

"Secara keseluruhan keselamatan sekolah terjamin kerana kita sentiasa meningkatkan kerjasama dengan polis serta PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) bagi memastikan tiada kejadian buruk," katanya.

Utusan Malaysia Online: 12 Januari 2010

Tiada ulasan: