Rabu, 6 Januari 2010

Sarawak kekurangan 1,565 guru

SAMARAHAN 5 Jan. - Perpindahan guru dari Semenanjung ke negeri asal masing-masing merupakan antara punca Sarawak mengalami masalah kekurangan 1,565 guru sekolah menengah bagi sesi persekolahan 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kekosongan itu melibatkan guru-guru bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Menurutnya, keadaan itu tidak membabitkan sekolah rendah yang menerima kehadiran kira-kira 1,000 guru baru semalam.

''Kebanyakan guru yang lebih lima tahun berkhidmat di Sarawak memohon untuk kembali ke negeri asal mereka dan ini merupakan antara punca berlaku kekurangan guru di Sarawak.

''Kita akan mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Dalam perkembangan berlainan Puad memberitahu, kementerian akan memberikan perhatian segera bagi menyelesaikan masalah 130 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Metah dekat Batang Rajang yang sekolah mereka musnah terbakar dalam kejadian pada 26 Disember lalu.

Beliau menjelaskan, pembinaan kabin untuk dijadikan kelas merupakan alternatif terbaik kerana ia bukan sahaja mudah dan cepat dipasang, malah tahan lama.

"Kita berharap penduduk kampung dapat membantu pembinaan kabin ini bagi menempatkan murid-murid kerana sesi persekolahan perlu diteruskan seperti biasa," katanya.

Dalam kejadian 26 Disember lalu, blok yang menempatkan bangunan pentadbiran, asrama dan kelas di SK Nanga Metah musnah dalam kebakaran selepas sambutan Hari Krismas.

Utusan Malaysia Online: 6 Januari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenape nak amek guru sandaran tak terlatih sedangkan baru2 ni ade jek isu lambakan guru?? pelik sungguh larr..amek jela guru yg terlatih yg xdpt posting tu..lagi bagus..appadaaaaaa cakap xserupa bikin.