Ahad, 17 Januari 2010

PDCA dibentang ke Kementerian

PULAU PINANG 16 Jan. - Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) yang dijalankan secara kerjasama pintar di antara empat agensi Kerajaan Pusat di negeri ini bakal dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran tidak lama lagi.

Empat agensi itu adalah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pelajaran negeri.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ibrahim Mohamed berkata, pembentangan itu dibuat ekoran keberkesanan pelaksanaan PDCA sejak ia digerakkan pada tahun 2005 yang berjaya meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Malah, katanya, program ini tetap menunjukkan pencapaian memberangsangkan walaupun jumlah peruntukan pelaksanaan PDCA adalah lebih rendah berbanding yang diterima di negeri lain.

Menurutnya, sebagai contoh, keberkesanan PDCA kepada kumpulan pelajar sekolah rendah menunjukkan impak yang cukup baik apabila mereka mampu mencapai keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

''Peratus kelulusan UPSR secara keseluruhannya di negeri ini adalah 67.17 peratus iaitu membabitkan 17,638 murid, manakala pencapaian kualiti (A) pula ialah seramai 3,177 (12.1 peratus).

''Daripada jumlah 3,177 murid yang dapat (A) itu, seramai 1,465 orang atau 46 peratus daripadanya ialah murid di bawah PDCA," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Anugerah Sekolah Cemerlang UPSR PDCA 2009 dan Pelancaran PDCA 2010 yang dirasmikan Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azhar turut menyerahkan replika cek bernilai RM4.4 juta kepada Ibrahim bagi melaksanakan pelbagai program PDCA pada tahun ini.

PDCA mula diperkenalkan pada tahun 2005 bertujuan meningkatkan prestasi akademik di kalangan pelajar bumiputera dalam UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Objektifnya pula adalah mengurangkan defisit terhimpun dalam peperiksaan, meningkatkan pencapaian 'A' dalam subjek teras dan menganjak pencapaian (kualiti dan kuantiti) di sekolah terlibat.

Dalam pada itu, Azhar berkata, beliau gembira dengan pencapaian diperoleh murid-murid yang menyertai PDCA dan berharap program tersebut dapat diperluaskan ke semua sekolah pada masa akan datang.

''Jika kita lihat statistik kelulusan pelajar PDCA 2009 adalah meningkat sebanyak 0.07 peratus iaitu 74.33 peratus berbanding pencapaian pada tahun 2008 (74.26 peratus).

''Pelajar PDCA yang mendapat 5A di dalam peperiksaan UPSR turut meningkat sebanyak 1.17 peratus pada tahun lalu iaitu 12.63 peratus berbanding 11.46 peratus pada tahun 2008," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 17 Januari 2010

Tiada ulasan: