Isnin, 11 Januari 2010

'Kaji semula bantuan makan pelajar asrama'

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my

PELAKSANAAN baru bantuan makan pelajar tinggal di asrama beberapa jenis sekolah Kementerian Pelajaran diminta dikaji semula bagi mengelakkan pelbagai kesan negatif, antaranya tahap keselamatan dan peningkatan belanja.

Pekeliling berkaitan tahun lalu menyatakan peruntukan makan pelajar terbabit akan dikurangkan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 270 kepada 250 hari di sekolah pendidikan khas.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas juga perlu membayar yuran makan RM3 sehari, manakala di bawah RM4,999 pula bayarannya kekal seperti sebelum ini RM1 sehari.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Arshad, berkata ramai ibu bapa mengeluh kerana peruntukan makanan itu tidak disediakan pada hujung minggu.

Berikutan tiada peruntukan itu, katanya, semua pelajar tinggal asrama akan balik ke rumah setiap hujung minggu. Ini memberi tekanan kepada pelajar dari aspek masa dan tenaga kerana jarak perjalanan jauh.

“Selain itu perbelanjaan semakin meningkat kerana balik setiap hujung minggu, tahap keselamatan pelajar berulang-alik itu tidak terjamin.

“Kita juga bimbang keadaan ini membuka ruang kepada pelajar terbabit dengan perbuatan tidak berfaedah berbanding tinggal di asrama dan hanya balik ke rumah sekali dalam tempoh sebulan,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Jemale Paiman, berkata keadaan itu juga menjejaskan pelaksanaan aktiviti pembelajaran tambahan yang lazim dijalankan pada hujung minggu.

“Pihak sekolah akan membataskan semua aktiviti meningkatkan kecemerlangan bagi menjimatkan kos makan asrama kerana tiada peruntukan.

“Senario ini juga secara tidak langsung akan merencatkan usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan kurikulum seperti dihasratkan kementerian,” katanya.

Beliau berharap kementerian merujuk kembali matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan antara lain mahu mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggi.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan baru itu perlu diberi perhatian kerana kebanyakan pelajar sekolah berasrama daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Peningkatan kos antaranya kerana terpaksa berulang-alik setiap hujung minggu ini mungkin akan membantutkan hasrat ibu bapa berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.

“Berikutan itu taraf pendidikan, ekonomi dan sosial mereka terus di takuk lama kerana perkembangan pendidikan anak mereka tidak berubah,”katanya.

Berita Harian Online: 11 Januari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya bidang pendidikan tak patut dipotong penruntukan dalam bajet 2010. Banyak kesan negatif bakal lahir selepas ini. Kerajaan perlu kaji semula.