Selasa, 19 Januari 2010

Kokurikulum diteruskan


Muhyiddin Yassin memasukkan kad pengenalan untuk mengemaskini akaun KWSPnya di gerai pameran KWSP sempena Majlis Pelancaran MyID di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 18 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran tidak bercadang menghentikan sebarang aktiviti kokurikulum termasuk di kawasan laut ekoran kejadian bot naga karam di Pantai Macallum, Pulau Pinang, semalam.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Pelajaran mengingatkan pihak sekolah supaya sentiasa menekankan aspek keselamatan para pelajar ketika melaksanakan aktiviti seumpama itu.

"Kadang-kala malang tidak berbau, saya tidak kata jangan buat aktiviti kokurikulum.

"Cuma aspek keselamatan kita tekankan, mereka sentiasa diperingatkan kerana semasa latihan itu jurulatih ada sekali dan mereka sudah memakai jaket keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif penggunaan MyID di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tragedi bot naga karam dipukul ombak semasa pasukan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chung Ling, Pulau Pinang berlatih mendayung semalam.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, dua termasuk guru sekolah terbabit lemas manakala empat lagi hilang.

Seramai 12 orang lagi bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

Muhyiddin yang mengucapkan takziah kepada semua mangsa tragedi itu berharap kejadian tersebut menjadi satu peringatan agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak sekolah berkenaan telah memastikan aspek keselamatan semasa latihan dilakukan termasuk dengan kehadiran guru dan jurulatih.

"Namun, bot itu telah berlanggar dengan sebuah tongkang statik, kalau di jalan raya, ia pun boleh berlaku.

"Jadi, perlulah diperingatkan supaya kejadian sebegitu tidak berlaku lagi," katanya.

"Usaha mencari masih diteruskan dan pagi ini saya dimaklumkan pasukan penyelamat telah menemui seorang lagi mangsa yang hilang," katanya.

Ditanya mengenai ketiadaan bot penyelamat ketika tragedi itu berlaku, Muhyiddin berkata;

"Apabila sesuatu kejadian sudah berlaku, kita boleh berkata macam-macam tetapi siapa yang boleh jangka (kejadian itu boleh berlaku)," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2010

Tiada ulasan: