Jumaat, 29 Januari 2010

Kunta Kinte: Guna SBT perkukuh sistem sekolah kebangsaan

KUNTA Kinte ucap tahniah kepada kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) macam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, umum Ahad lalu.

Kunta Kinte ucap tahniah kepada guru, murid, ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah-sekolah itu.

Kunta Kinte kata macam tu sebab setahu Kunta Kintelah, gabungan guru, murid, ibu bapa dan PIBG inilah yang buat sekolah cemerlang. Kunta Kinte tahu pasal semua lima orang anak Kunta Kinte belajar di sekolah kebangsaan.

Sebenarnya tidak ada apa yang buruk mengenai sekolah kebangsaan ini. Alhamdulillah anak Kunta Kinte yang sudah lulus sistem ini nampak seimbang. Ada kawan Melayu, Cina dan India. Boleh cakap Melayu dan orang putih.

Yang jadi masalah dan yang buat nama sekolah kebangsaan ni busuk adalah sikap kepada guru, murid, ibu bapa, PIBG dan pegawai pendidikan. Suka pilih bulu, pilih kasih, kerja tak ikut peraturan dan tak komited.

Apa yang nak dihairankan sangat 20 buah sekolah itu dapat taraf SBT. Kunta Kinte tahu sesetengah sekolah di Kuala Lumpur jadi cemerlang pasal ramai anak menteri, anak pegawai tinggi kerajaan dan anak pembesar pergi ke sekolah itu.

Jadi guru pun tiba-tiba tekun sama ada pasal motivasi atau pasal takut. Kunta Kinte selalu kata, takut adalah satu bentuk motivasi.

Bila takut anak menteri gagal atau takut anak pegawai bagi tahu emak bapa mereka, guru besar dan pengetua pun kerja kuat dan minta guru serta peralatan terbaik. Apa lagilah bila ada isteri menteri atau isteri pegawai tinggi yang jadi guru di situ. Jadilah sekolah itu sekolah istimewa.

Pegawai Pendidikan Daerah pun pasal takut bos dan pasal berharap lekas naik pangkat bagi macam-macam kemudahan dan selalu melawat, tapi taklah pula macam wazir zaman Kunta Kinte yang melawat secara mengejut dan duduk di belakang bilik darjah. Guru dan murid terkencing dalam seluar ketakutan.

Di sekolah istimewa ini, pasal ramai anak menteri, anak pegawai tinggi kerajaan dan anak orang kaya, PIBG pun dapat banyak derma. Bila banyak duit, bolehlah buat macam-macam kegiatan tambahan.

Orang putih kata 'success breeds more success' atau kejayaan menghasilkan lebih banyak kejayaan.

Macam selalu Kunta Kinte kata, masalah kita bukan dengan sekolah atau murid cemerlang. Tapi itulah yang pembesar dan media massa kita selalu uar-uarkan.

Masalah kita adalah dengan sekolah dan murid yang tidak cemerlang. Mereka inilah yang susah melanjutkan pelajaran, susah dapat biasiswa, ramai tercicir, susah dapat kerja yang berbaloi dan berpotensi jadi mat rempit, kaki gian dan penjenayah kelas tiga.

Bukan tujuan Kunta Kinte hendak perlekeh atau lemahkan semangat sesiapa, tapi sekadar nak ingatkan kita semua yang bagi setiap sebuah SBT ada beribu SBR (sekolah berprestasi rendah) atau tak ada prestasi langsung sebab kita ada lebih 5,000 sekolah rendah dan 2,000 sekolah menengah.

Jadi Kunta Kinte harap program SBT ini janganlah sekali lagi jadi HHTA (hangat-hangat tahi ayam) yang kerap berlaku bila menteri atau pegawai baru ambil alih.

Kunta Kinte mintalah kepada semua agar kita jadikan program ini sebagai permulaan menaikkan taraf pendidikan sekolah kebangsaan agar tidak terus dicaci oleh pihak-pihak yang hendak pertahankan sistem jenis kebangsaan.

Kalau program ini gagal macam banyak program Kementerian Pelajaran sebelum ini, sistem sekolah kebangsaan akan dicemuh dan alasan untuk kekalkan sekolah jenis kebangsaan akan jadi lebih kuat.

Ini orang Melayu dan Bumiputera sebagai kaum majoriti kena ingat. Tak guna ada banyak sekolah kebangsaan kalau tak cemerlang. Dan tak guna pertingkat prestasi sekolah kebangsaan kalau murid Melayu dan Bumiputera terkebelakang.

Inilah cabaran kita. Kunta Kinte kena sebut juga iaitu sejak kita merdeka 53 tahun lalu, semua menteri pelajaran adalah Melayu dan lima daripada enam Perdana Menteri adalah bekas Menteri Pelajaran.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata iaitu dalam masa yang sama tulisan jawi hampir hilang, pelajaran agama Islam terumbang-ambing dan penguasaan bahasa (Melayu dan Inggeris) kelam-kabut.

Pasal apa? Pasal perancangan kelas dunia tapi pelaksanaan kelas Dunia Ke Tiga.

Berita Harian Online: 29 Januari 2010

Tiada ulasan: