Khamis, 14 Januari 2010

44 pesara perkhidmatan perguruan dirai

KOTA BHARU 13 Jan. - Seramai 44 pesara perkhidmatan perguruan dari sekitar jajahan ini diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu di sini baru-baru ini.

Mereka yang menamatkan perkhidmatan masing-masing sepanjang 2009 turut menerima cenderahati daripada Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Aziz Daud.

Ibrahim Hamat ketika berucap mewakili pesara itu berkata, setelah berkhidmat kira-kira 30 tahun dalam bidang perguruan, mereka kini sedang membiasakan diri sebagai orang awam.

Namun katanya, ada ketika mereka seolah-olah berada di 'sempadan' antara kehidupan bersama keluarga dan dunia persekolahan.

''Selama ini rutin harian bagi menjurus kepada aspek pendidikan di sekolah. Kini kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa," kata bekas Ketua Unit Pembangunan PPD Kota Bharu itu.

Selepas bersara kata Ibrahim, mereka mempunyai banyak masa terluang dan hanya penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan dapat memenuhi jadual harian yang kini jauh berbeza.

Menurut beliau, bagi mereka yang telah melaksanakan dengan baik tanggungjawab yang diamanahkan bagi membimbing anak bangsa, persaraan tentunya memberikan kepuasan.

Jelasnya, penglibatan dalam bidang pendidikan mendedahkan mereka dengan pelbagai pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk terus membantu masyarakat setempat.

Katanya, kehidupan selepas bersara perlu digunakan sebaik-baiknya kerana mereka tidak lagi terikat dengan mana-mana pihak.

Utusan Malaysia Online: 14 Januari 2010

Tiada ulasan: