Ahad, 3 Januari 2010

Pahang perlukan 400 guru


SEBAHAGIAN daripada bakal guru lepasan ijazah meneliti surat penempatan masing-masing setelah menerimanya daripada Abdul Hamid Abu Bakar di Beserah, Kuantan, semalam.


KUANTAN 2 Jan. - Meskipun sesi persekolahan akan bermula dua hari lagi, Pahang masih berdepan dengan masalah kekurangan hampir 400 guru di 182 sekolah menengah di seluruh negeri ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, kekurangan itu kebanyakannya membabitkan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya terpaksa melantik guru sementara untuk ditempatkan di sekolah-sekolah terbabit bagi menangani masalah kekurangan tersebut.

''Secara puratanya, setiap sekolah menengah di Pahang mengalami sekurang-kurangnya dua guru.

''Kita telah mengeluarkan surat pelantikan tersebut hari ini supaya mereka boleh melaporkan diri di sekolah masing-masing pada hari pertama persekolahan Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat penempatan dan orientasi guru baru sekolah rendah di Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan negeri di Beserah dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 446 bakal guru lepasan ijazah menerima surat penempatan sebelum mereka melaporkan diri di sekolah masing-masing, Isnin ini.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya bagaimanapun lega kerana masalah kekurangan guru tidak berlaku di sekolah rendah negeri ini.

''Kita tidak menghadapi masalah kekurangan guru di sekolah rendah, malah, kita mempunyai lebih guru terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya.

Mengulas majlis penempatan guru tersebut, jelas beliau, seramai 425 guru akan melaporkan diri di sekolah kebangsaan manakala masing-masing 11 dan 10 guru bakal ditempatkan di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pada Isnin ini.

Sehingga kini, tambah beliau, pihaknya tidak menerima sebarang rayuan daripada mana-mana bakal guru yang menolak untuk ditempatkan di kawasan pedalaman atau pulau.

''Kita dapati semuanya telah bersiap sedia untuk ditempatkan di sekolah pedalaman atau pulau yang terdapat di negeri ini," katanya.

Abdul Hamid memberitahu, kebanyakan guru baru itu ditempatkan di Kuantan iaitu seramai 71 orang diikuti Rompin (65) dan Pekan (63).

Utusan Malaysia Online: 3 Januari 2010

Tiada ulasan: