Selasa, 19 Januari 2010

Pengetua salah guna kuasa pindah guru bermasalah

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

NUTP tak setuju ambil kesempatan program MBMMBI

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa ada segelintir guru besar dan pengetua menyalah guna kuasa untuk memindahkan guru yang 'tidak sebulu' atau bermasalah dari sekolah dalam melaksanakan program penempatan semula bermula awal bulan ini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata guru besar dan pengetua terbabit mengambil kesempatan mengeluarkan guru tertentu yang sudah disasarkan dengan memberi alasan sekadar memenuhi arahan penempatan semula untuk mencapai matlamat memartabat Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berikutan itu, beliau berkata, berlaku senario ada guru Bahasa Inggeris dipindahkan dari sekolah yang sedang mengalami kekurangan tenaga pengajar dalam subjek itu, malah keadaan sama menimpa guru opsyen Seni Visual walaupun mereka tiada kaitan dengan program penempatan semula untuk MBMMBI, sehingga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Perkara sedemikian berlaku kerana tiada sebarang garis panduan mengenai penempatan semula ini yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran untuk diguna pakai secara seragam oleh semua jabatan pelajaran negeri (JPN).

"NUTP memang tidak bersetuju dengan kaedah penyalahgunaan kuasa sebegini di mana guru besar atau pengetua mengambil kesempatan atas arahan penempatan semula untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai, antara lain mungkin kerana guru berkenaan 'kaki bangkang', mahu pun guru bermasalah dari sekolah mereka.

"Kementerian perlu memantau supaya program penempatan semula ini dilakukan secara profesional bagi memastikan guru tidak menjadi mangsa," katanya di ibu pejabat NUTP di sini, semalam.

Selain itu, Hashim berkata, ada guru sudah bertugas lama sehingga 20 tahun di sesebuah sekolah tetapi menerima arahan berpindah ke lokasi jauh dalam tempoh sesingkat dua minggu, menyebabkan timbul tekanan tinggi dari segi urusan keluarga dan bebanan kewangan.

Sebagai contoh, katanya, guru dari Sabak Bernam ditukarkan ke Petaling, Subang atau Klang terpaksa bangun jam empat pagi dan mengambil masa empat jam ulang-alik ke sekolah setiap hari, sekali gus menjejaskan tumpuan mengajar.

Bukan itu saja, beliau berkata, turut berlaku kes ada guru opsyen Bahasa Malaysia, tetapi mengajar Bahasa Inggeris selama 15 tahun demi memenuhi keperluan sekolah, malah pernah menjalani kursus pertukaran subjek, diminta bertukar ke sekolah lain dan dipaksa mengajar Bahasa Malaysia yang sudah ditinggalkan begitu lama.

Pada peringkat awal pelaksanaan penempatan semula ini, Hashim berkata, NUTP sudah menerima 10 aduan daripada guru yang kebanyakannya dari Selangor, termasuk lima atau enam kes mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa guru besar dan pengetua.

Berita Harian Online: 19 Januari 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

HENTIKAN SAHAJA PROGRAM PENEMPATAN GURU.

Tanpa Nama berkata...

Sebaik-baiknya guru yang tidak memohon pertukaran dikekalkan di sekolah asal sekiranya pertukaran itu bukan kerana naik pangkat. Hak dan kebajikan guru perlu dinilai sebelum sesuatu tindakan diambil kalaulah pihak PPD dan gurubesar mengambil pertimbangan wajar, barulah dikatakan telus dan profesional. Namun yang berlaku lebih kepada analogi durian dan mentimun. Amalan salahguna kuasa memang suatu hakikat yang benar-benar kerap berlaku di sekolah. Bagi guru yang tidak ada sesiapa untuk minta bantuan, deritalah jawabnya. Sebaliknya yang selalu ponteng kerja, mengajar tak seberapa,kuat minum,banyak isteri, main mahjong,kuat politik pembangkang, pil kuda,kaki pukul,...guru demikianlah yang diberi APC dan dikekalkan di sekolah kerana sebulu dengan gurubesar dan ada pegawai-pegawai besar backing.Kalau dulu mana ada guru yang mau ke sekolah itu. Tapi sejak ada elaun pedalaman 2, wah..ramai nak pergi mohon pindah ke situ hinggakan yang dah lama ditendang keluar. Bagus elaun pedalaman itu dimansuhkan segera.

Tanpa Nama berkata...

Mekanisma kenaikan pangkat mungkin merupakan salah satu faktor penyumbang kepada sikap salah guna kuasa dalam bidang pendidikan sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Jawatan penting di sekolah diisi oleh pegawai pendidikan daerah atau negeri kerana percaturan mereka sendiri dibantu oleh rakan-rakan kroni. Sekolah bagaikan 'papan anjal' untuk melompat ke jawatan yang lebih tinggi nanti. Akibat leka mengejar DG, band dan nama akhirnya guru-guru menjadi sasaran kerahan tenaga demi mencapai kepentingan sendiri. Sekalipun melanggar arahan pekeliling, semua tindakan menjadi halal demi memudah kerja sendiri. Guru-guru dikerah bekerja pada hari ahad sekalipun diketahui bahawa guru tidak mempunyai cuti ganti, arahan atasan diturut membuta tuli demi menjaga hubungan baik supaya lebih mudah mendaki tangga DG. Membiarkan kebajikan guru diabaikan kerana mereka 'nobody'. Turun dari jabatan atau PPD ke sekolah tidak sampai setahun kemudian melonjak ke jawatan yang lebih tinggi sama ada mengikut giliran atau puak kroni. Sekolah menjadi pentas kesibukan melaksanakan program namun keberkesanannya diletak ke tepi kerana kertas kerja sangat penting sebagai bukti usaha telah dilaksanakan. Lebih tebal kertas kerja maka lebih cepatlah naik agaknya. Perasmi mesti dari PPD atau jabatan supaya lebih tertonjol diri. Mereka semua asalnya guru biasa....namun kini kenapa gila kuasa....