Selasa, 12 Januari 2010

SPR pantau pilihan raya ketua murid


MURID Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, Aimi Sarafana Balqis membuang undi pada pilihan raya pemilihan ketua murid, semalam.

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) di sini mencipta sejarah apabila pemilihan ketua muridnya semalam dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

Pemilihan yang menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Pada pemilihan itu, Khairul Azli Khairul Razi diumumkan sebagai pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid.

Calon lain, Nurul Amalina Amiruddin mendapat 177 undi, diikuti Nik Zaman Faisal Zakimi (86) dan Mohammad Shahril Mohammad Anuar (57) undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya yang juga Guru Besar sekolah berkenaan, Nik Nab Sulaiman pada jam 2.10 petang dan dipantau Timbalan Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Khairul Amri Ishak.

Seramai 966 atau 91.7 peratus daripada 1,053 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk satu undi pos melalui internet yang dilakukan guru yang kini melanjutkan pengajian ke luar negara, manakala tiga undi rosak.

Proses pembuangan undi itu dimulakan oleh Nik Nab, diikuti guru dan kakitangan sekolah serta murid Tahun Dua hingga Enam membabitkan lima saluran peti undi.

Nik Nab ketika ditemui pemberita, berkata pilihan raya bagi memilih ketua murid di sekolah itu sudah dua kali diadakan, tetapi tahun ini pertama kali dijalankan dengan kerjasama SPR bertujuan menerapkan konsep demokrasi yang diamalkan negara kepada generasi muda.

Beliau berkata, semua calon berkempen sejak seminggu lalu dengan pelbagai cara termasuk memasang poster, mengedar kalendar yang tertera nama dan slogan masing-masing serta mengadakan kempen dari kelas ke kelas.

Kelima-lima calon turut berkempen untuk kali terakhir pada sesi pidato semalam sebelum pusat pengundian dibuka. Proses pengiraan undi turut dilakukan kakitangan SPR dan sekolah bermula jam 1.20 petang.

Nik Nab berkata, perancangan untuk mengadakan pilihan raya itu bermula sejak Disember lalu dengan menghantar kertas kerja kepada SPR untuk mendapat kerjasama menjalankannya seperti pilihan raya sebenar.

"Setiap kelas diarah menghantar nama tiga calon menjadikan jumlah keseluruhan calon peringkat awal seramai 100 pelajar sebelum jumlah itu dikecilkan kepada 80 orang dan kemudian 60 murid dipilih untuk menjalani kursus sehari semalam bagi memenuhi syarat yang ditetapkan pihak sekolah.

"Daripada kursus itu, kita memilih lima pelajar terbaik untuk dicalonkan sebagai ketua murid pada sesi persekolahan kali ini dengan proses penamaan calon bermula pada 5 Januari lalu," katanya.

Berita Harian Online: 12 Januari 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nak tanya sikit,
Boleh ka buat pilihnraya ni waktu P&P. Kami nak buat aktiviti Panitia waktu hari persekolahan selepas rehat pun tak dibenarkan jabatan. Siap ugut boleh kena denda lagi.

Suruh buat xtvt pada hari Sabtu,

penjawat awam berkata...

betul betul betul, saya sokong tu. semua hari sabtu dah tak kira sabtu pertama ke ketiga ke, main langgar je. macam2 aktiviti luar pnp mesti buat hari sabtu.siap kena cukupkan bilangan sabtu dlm setahun.kakitangan kerajaan lain ada macam tu ke?