Jumaat, 22 Januari 2010

Sekolah prestasi tinggi diumum esok

MIRI 21 Jan. - Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan nama 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT), Sabtu ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang dipilih adalah antara 10,000 sekolah di negara ini yang telah menjalani penilaian pada tahun lalu.

Menurutnya, pemilihan sekolah berkenaan dibuat berdasarkan prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa.

"Apabila sekolah ini telah terangkum sebagai sekolah terbaik, kita akan pastikan supaya mutunya tidak menurun.

"Kita mahu tingkatkan supaya ia menjadi sekolah contoh kepada sekolah lain supaya mereka dapat berdiri sama tinggi dengan sekolah berprestasi tinggi itu," jelasnya.

Beliau berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Kampung Bakam yang menelan kos RM17 juta di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; kedua-dua timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak salah faham berhubung pengumuman SBT.

Muhyiddin menegaskan, sekolah berkenaan bukan sekolah istimewa atau sekolah elit yang akan menerima lebih peruntukan berbanding sekolah lain.

"Mereka adalah sama, tetapi berdasarkan usaha yang dilakukan pengetua, guru besar, ibu bapa, pelajar dan guru serta bantuan kerajaan maka mereka dapat meningkat dari segi prestasi dan pencapaian dalam bidang akademik dan kurikulum," jelasnya.

Menurutnya, SBT merupakan satu daripada empat sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran iaitu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Beliau menambah, mulai tahun depan, kementerian akan memberi ganjaran kepada pengetua atau guru besar serta semua guru di sekolah yang mencapai kemajuan cemerlang daripada aspek akademik dan kokurikulum.

Tanpa menyebut bentuk ganjaran itu, beliau berkata, pemberian tersebut akan mengambil kira prestasi dicapai sekolah yang dinilai untuk tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau percaya bidang pendidikan tetap diberi perhatian dan mendapat peruntukan lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Kita harap dengan sokongan semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bidang pendidikan akan terus diberi perhatian serius dan saya harap perbelanjaan lebih besar akan disediakan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2010

Tiada ulasan: