Selasa, 5 Januari 2010

Guru patut akur arahan bertukar

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

Enggan pindah punca jumlah tenaga pengajar tidak seimbang: Muhyiddin

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap segelintir guru yang sentiasa mengemukakan rayuan sama ada ditukarkan ke sekolah lain atau terus kekal di sekolah tertentu sehingga menjejaskan usaha kerajaan memantapkan sistem pendidikan negara.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tidak terkecuali dihujani permohonan guru yang merayu supaya tidak ditukarkan atau ditukarkan ke sekolah lain.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tindakan guru terbabit akan menyebabkan kementerian berdepan dengan masalah lebihan guru di sesetengah sekolah, manakala di tempat lain menghadapi masalah kekurangan guru.

"Ia (tindakan) satu masalah pada kementerian kerana jika dia berminat untuk kekal selama-lamanya, kita akan berdepan dengan masalah kekurangan dan lebihan guru.

"Sebagai contoh, ada negeri yang kurang guru dan ada negeri yang lebih guru kerana guru tidak mahu ditukarkan ke negeri lain," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari di Bandar Pinggiran Subang di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom.

Muhyiddin berkata, sebagai kakitangan kerajaan yang tertakluk pada arahan kementerian, guru harus memahami jika kementerian memutuskan untuk menukar, memindah atau menempatkan mereka di sekolah tertentu.

Beliau berkata, tindakan tukar-menukar sekolah tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan keperluan sekolah dan mata pelajaran yang diajar di sekolah itu.

Dalam isu berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak 76 sekolah baru termasuk 40 SK yang boleh menampung 58,140 pelajar akan mula beroperasi tahun ini.

Daripada jumlah itu, 20 sekolah termasuk 11 SK dibuka bulan ini, manakala selebihnya Jun depan.

Mengulas keadaan sesak di SK Subang Bestari, Muhyiddin berkata, bagi menangani masalah itu pihaknya menyediakan peruntukan untuk membina sekolah baru di kawasan berhampiran bagi menampung bilangan murid yang kini mencecah 3,260 orang.

"Ibu bapa boleh menghantar anak mereka ke sekolah baru pada sesi persekolahan awal 2012 dan sebagai langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan di sekolah itu kementerian menyediakan kabin yang selesa dan kondusif.

"Jika sekolah mempunyai pelajar yang melebihi nisbah sepatutnya iaitu sehingga satu kelas 40 hingga 50 pelajar, ia boleh menjejaskan proses pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata kementerian sedang ke arah menjadikan pembelajaran satu sesi di semua sekolah di seluruh negara tetapi enggan menyatakan bila ia boleh dilaksanakan.

Berita Harian Online: 5 Januari 2010

Tiada ulasan: