Jumaat, 1 Januari 2010

Graduan tajaan diserap automatik

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Semua graduan tajaan Kementerian Pelajaran bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi jaminan akan diserapkan secara automatik dalam perkhidmatan kementerian itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata graduan tidak ditaja Kementerian Pelajaran perlu membuat permohonan tetapi tiada jaminan penempatan ke sekolah apabila tamat pengajian.

Beliau berkata, ini kerana bilangan pelajar tajaan ditetapkan mengikut unjuran jumlah guru yang diperlukan di sekolah Kementerian Pelajaran apabila mereka tamat pengajian.

“Kementerian Pelajaran ada berhubung dengan IPTA untuk menentukan bilangan guru (diperlukan mengikut unjuran). Bagaimanapun, IPTA ada program sendiri, tidak semestinya pelajar yang dilatih dalam bidang keguruan untuk Kementerian Pelajaran saja

“Oleh itu, tidak timbul isu kerana kementerian sudah ada unjuran. Universiti kadang-kadang melatih lebih ramai pelajar untuk keperluan tempat lain seperti sektor swasta. Tiada masalah kerana pelajar tahu bahawa mereka yang ditaja akan automatik memasuki Kementerian Pelajaran apabila tamat pengajian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini semalam.

Mohd Fadil Sulaiman muncul johan seni khat thuluth, manakala seni khat nasakh dimenangi Mohd Zulfikri Mohd Sobri dan seni khat riq`ah ialah Zawadi Che Seman bagi peringkat dewasa kategori Seni Khat Tradisional Di Atas Kertas (Spontan).

Wan Mohammad Amirul Akmar Wan Rasid muncul johan Seni Khat Nasakh dan Riq`ah peringkat bawah 18 tahun. Johan kategori Seni Lukisan Khat Tradisional Atas Kanvas peringkat terbuka ialah Mohd Shafiq Mohamad dan johan kategori Seni Lukisan Khat Kontemporari Atas Kanvas terbuka, Ahmad Jurjani Hishamudin.

Laporan akhbar semalam memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, sebagai berkata penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari IPTA ke sekolah hanya akan dibuat berdasarkan kekosongan jawatan dan pengkhususan mereka kerana kementerian terpaksa memberi keutamaan kepada lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dari 27 institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara.

Sambil menjelaskan guru Bahasa Inggeris dan Matematik ialah antara keperluan kritikal, Alimuddin berkata, graduan bukan tajaan kementerian perlu menunggu iklan permohonan yang kadang kala dua kali setahun untuk memasuki perkhidmatan pendidikan melalui proses biasa, termasuk menduduki Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) serta menjalani temu duga.

Mengulas isu sama, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, menasihati graduan tidak terlalu mengharapkan kerjaya perguruan kerajaan, sebaliknya mencari peluang mengajar dalam sektor swasta serta di luar negara.

“Ini kerana IPG lebih memberi latihan kepada bakal tenaga pengajar mengikut keperluan semasa, sedangkan graduan pendidikan IPT lebih kepada bidang mereka sendiri bukan berdasarkan keperluan,” katanya.

Berita Harian Online: 1 Januari 2010

Tiada ulasan: