Sabtu, 16 Januari 2010

Hairan sekolah dibenar beroperasi

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Al-Islamiah di Jalan Kuchai Lama di sini merayu pihak bertanggungjawab menyelesaikan segera masalah ketiadaan bekalan air dan kemudahan talian telefon di sekolah berkenaan.

Ini demi memastikan murid-murid di sekolah berkenaan dapat mengikuti sesi persekolahan dengan lebih selesa dan tenang serta dapat menggunakan kemudahan yang sepatutnya dinikmati mereka.

Guru Besarnya, Nor Lailaarfah Md. Fadly, 35, berkata, beliau yang baru enam bulan bertukar ke sekolah berkenaan mengakui amat terkejut dengan keadaan sekolah yang masih tidak mempunyai kemudahan asas itu terutama air.

Katanya, tidak dipercayai masalah itu boleh berlaku kerana selain sekolah itu sendiri terletak di kawasan bandar, bekalan air adalah satu kemudahan sangat penting dan diperlukan.

Beliau amat berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah itu demi memastikan murid-murid di situ menikmati kemudahan asas yang sepatutnya mereka peroleh.

"Adalah sesuatu yang agak menyulitkan sekiranya kemudahan-kemudahan ini tidak disediakan. Bayangkan sukarnya kalau ketiadaan bekalan air. Bagaimana hendak bersuci dan berwuduk.

"Bagaimana pula dengan urusan pentadbiran pejabat, bilik guru dan tugas-tugas berkaitan sekolah hendak dilaksanakan jika tiada kemudahan telefon," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa PIBG, Norasip Omar, 52, harapannya tiada lain selain meminta pihak berkuasa atau sesiapa sahaja dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera demi kemudahan murid dan guru sekolah berkenaan.

Katanya, adalah sesuatu yang sukar diterima apabila kemudahan asas seperti bekalan air mahupun talian telefon tidak disediakan di sekolah berkenaan dan ia dibenarkan beroperasi.

"Kami bersedia memberi kerjasama bagi memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,'' ujarnya.

Beliau juga berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan yang dipercayai tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

Sementara itu, seorang murid tahun 2, Mohammad Iqbal Shamsul Anuar, 8, mengakui menghadapi kesukaran kerana ketiadaan bekalan air di sekolah berkenaan.

Dia berharap kemudahan itu dapat disediakan segera supaya dia dan rakan-rakan yang lain tidak perlu ke surau berhampiran untuk menggunakan tandas.

Seorang lagi murid, Nurul Batrisyia Abdul Jamil, 8, pula berkata, dia sering menahan daripada membuang air kerana malas untuk berulang-alik ke surau berdekatan.

Dia mengakui tidak selesa dengan keadaan itu tetapi menganggap itu sebagai terpaksa.

"Kalau bekalan air ada di sekolah ini, tidak perlulah kami ke surau itu lagi. Ia tentunya lebih mudah dan menjimatkan masa," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2010

Tiada ulasan: