Jumaat, 8 Januari 2010

800 komputer riba percuma untuk guru tingkat UPSR



SEBAHAGIAN murid yang menerima sagu hati pada majlis kecemerlangan UPSR Terengganu 2009 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 7 Jan. - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian sebuah komputer riba untuk setiap guru tahun enam di seluruh Terengganu bermula bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pemberian komputer percuma itu dibuat dalam usaha memantapkan proses pengajaran di kalangan 800 guru darjah enam menerusi program e-Book sebagai alat bantuan mengajar.

Katanya, pemberian alat bantuan mengajar itu diharap akan meningkatkan kecemerlangan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Saya berharap kos sebanyak RM1.4 juta untuk pembelian komputer riba itu akan memberikan pulangan sewajarnya iaitu peningkatan pencapaian pada peperiksaan tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis Penghargaan Kecemerlangan UPSR Terengganu 2009 di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 3,664 murid yang mendapat keputusan cemerlang pada UPSR tahun lalu menerima sijil penghargaan dan sagu hati.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurut Ahmad lagi, syarikat Intel Corporation (Intel) bakal mengadakan tiga siri kursus bermula bulan ini untuk mempertingkatkan kecekapan guru-guru menggunakan komputer riba bagi diaplikasikan ke dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

Bermula pertengahan tahun ini kesemua murid tahun enam akan diwajibkan menduduki peperiksaan secara sistem dalam talian online setiap bulan.

"Bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar-pelajar sehingga tiba hari peperiksaan sebenar UPSR, latih tubi setiap bulan melalui online akan dibuat dan setiap bulan kita akan memilih pelajar cemerlang untuk diberikan sagu hati.

"Selain itu, komputer riba guru-guru tersebut turut dilengkapkan dengan sistem pemantauan bagi mengelakkan pelajar-pelajar menyalahgunakan kemudahan sistem tersebut ketika sesi pembelajaran," jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan dan infrastruktur bagi membina sekolah berasrama untuk memenuhi permintaan kemasukan ke sekolah terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pusat diminta menyediakan peruntukan bagi penyediaan guru dan pembayaran gaji mereka.

"Kerajaan negeri boleh menyediakan kemudahan sekolah berasrama namun tidak mampu untuk membayar gaji para guru.

"Jika Pusat sanggup menyediakan guru, kita bersedia membina sekolah berasrama di negeri ini pada bila-bila masa," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 8 Januari 2010

Tiada ulasan: