Khamis, 14 Januari 2010

Tiada diskriminasi sekolah

LONDON 13 Jan. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman kerana pendidikan penting untuk semua rakyat tanpa mengira tempat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua sekolah dilayan sama rata dengan kehendak dan keperluan yang sentiasa dipertimbangkan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

“Kita melayan semua sekolah sama sahaja daripada segi keperluan. Di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman kita ingin menghantar guru yang terbaik ke sana tetapi tidak ramai yang mahu ke sana,” katanya semasa mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pelajar Malaysia di Belgrave Square di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar yang menanyakan perbezaan ketara jika dibandingkan Sekolah Sri Puteri di Cyberjaya dengan sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Turut hadir dalam pertemuan dan majlis makan malam selama kira-kira dua jam itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin yang menemui kira-kira 250 pelajar Malaysia itu menegaskan, tiada layanan istimewa terhadap mana-mana sekolah terutamanya di kawasan bandar.

“Walaupun kita mengumumkan sekolah berprestasi tinggi (SBT) tetapi itu tidak bermakna kita memandang rendah kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.

Tambah beliau, menjadi cabaran kepada pengetua-pengetua sekolah untuk meletakkan sekolah masing-masing setanding dengan sekolah SBT.

“Kementerian Pelajaran mahu SBT menjadi penanda aras kecemerlangan sekolah-sekolah lain,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin juga menjelaskan isu-isu semasa di Malaysia termasuk proses peralihan kuasa yang lancar antara bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 14 Januari 2010

Tiada ulasan: