Rabu, 27 Januari 2010

Semangat kental pendidik rahsia kejayaan sekolah

TAIPING: Kemampuan mengekalkan prestasi cemerlang akademik dan kokurikulum di kalangan murid serta semangat tinggi guru membimbing anak didik mereka antara resipi kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, di sini tersenarai dalam kelompok 20 Sekolah Berpretasi Tinggi (SBT).

Penolong Kanan 1 (Pentadbiran) sekolah itu, Rokiah Ahmad, berkata SK Convent Kota yang kini diterajui Zakiah Ghazali, 54, selaku Guru Besar berjaya mengekalkan prestasi baik keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun berturut-turut sejak 2007.

Seramai 37 daripada 103 murid yang menduduki peperiksaan itu pada 2007 memperoleh 5A, diikuti 52 daripada 132 murid pada 2008 dan 26 daripada 96 murid tahun lalu mendapat keputusan sama.

Kecemerlangan itu antara lain dicapai melalui pelaksanaan pelbagai kaedah termasuk program Ko-Akademik terutama dalam Bahasa Inggeris dalam bentuk bercerita dan pengucapan awam.

“Pihak sekolah dan guru sentiasa memberikan komitmen bagi mewujudkan aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dalam semua mata pelajaran bagi memudahkan penerimaan di kalangan murid yang terdiri pelbagai kaum selain melaksanakan program anjuran Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),” katanya.

Berita Harian Online: 27 Januari 2010

Tiada ulasan: