Jumaat, 1 Januari 2010

Sistem pelantikan guru besar perlu perubahan

PROGRAM Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan (NPQH) yang diperkenalkan semenjak 1998 merupakan satu dimensi dalam profesion pendidikan apabila bakal-bakal pengurus pendidikan dalam bidang Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan dilatih bagi meningkatkan martabat profesion ke tahap global.

Kesinambungan kepada program ini, peserta yang layak ditemu duga untuk mengikuti Program Persiswazahan Guru Besar (PPGB) selama dua tahun dengan separuh gaji. Apabila tamat dengan jayanya peserta dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Segala halangan bukanlah alasan untuk seseorang guru tidak melanjutkan pelajaran. Ramai juga di kalangan kami merupakan ibu tunggal dan bapa tunggal, ramai juga yang menjadi ‘ibu tinggal’ dan ‘bapa tinggal.’ Namun, oleh kerana kami mempunyai kecekalan hati yang tinggi, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian di UPSI.

Pemilihan calon-calon NPQH yang layak adalah minimum 10 tahun pengalaman mengajar, merupakan guru-guru yang telah menamatkan pengajian 2½ tahun di maktab perguruan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, akan melalui Pentaksiran Tahap I, II dan III di Institut Aminuddin Baki. Hanya calon-calon yang layak mengikuti latihan Program Kelayakan Profesionalisme Kepengetuaan Kebangsaan (KPKK) di IAB.

Berdasarkan kenyataan di atas, tidak dinafikan kami sememangnya berpengalaman serta telah lama berkhidmat. Minimum di kalangan kami telah berkhidmat selama 21 tahun. Kami juga bukanlah guru-guru muda yang baru berumur setahun jagung.

Kebanyakan dalam kalangan kami telah berumur 45 tahun ke atas dan kebanyakannya sekitar 49 dan 50 tahun. Adakah umur 56 tahun atau menunggu dua tahun lagi pencen baru dikira layak untuk dilantik sebagai guru besar? Tidakkah 21 tahun ini satu jangka masa yang cukup lama? Tidakkah 21 tahun ini telah cukup pengalaman untuk dilantik menjawat jawatan guru besar?

Kami bukan baru semalam diberikan ijazah. Kami telah memperolehinya sejak 2000/2001, diikuti dengan Ijazah Sarjana dan seterusnya Ph.D. Tapi apa yang kami perolehi?

Terpulanglah apa juga pandangan daripada guru-guru muda.

Semua warga pendidikan harus berasa bangga dan menaruh keyakinan terhadap kursus NPQH dan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan yang dianjurkan. Ia adalah agenda Kebangsaan bagi Kementerian Pelajaran. Negara-negara yang maju sentiasa meletakkan darjah kebolehan dan kelayakan sebagai syarat utama kepada sesuatu pemilihan.

Kewujudan kursus ini adalah antara usaha penting ke arah memartabatkan profesion keguruan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Semua pihak dari peringkat pengurusan atasan hinggalah peringkat bawahan harus bersikap terbuka sekiranya negara mengharapkan peningkatan kualiti pelajar, kualiti pengurusan sekolah dan kualiti pendidikan negara hingga ke taraf dunia.

Sekolah harus dikendalikan oleh individu yang berilmu pengetahuan. Bukan individu yang menunggu jawatan berdasarkan kekananan tetapi tidak berupaya melaksanakan peranan. Perjawatan harus dilihat sebagai tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Perjawatan harus disertakan dengan pelaksanaan tanggungjawab yang didokongi oleh sesuatu jawatan tersebut.

Banyak wang dibelanjakan dan tenaga dicurahkan bagi menjayakan program ini. Adalah amat malang kepada dunia pendidikan negara seandainya pemindahan latihan oleh lepasan NPQH (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) ini terhalang semata-mata kerana halangan-halangan yang tidak jelas.

Peluang dan ruang perlulah diberikan kepada peserta. Dorongan, sokongan dan galakan perlu dihulurkan.

Adalah menjadi usaha Malaysia menjadikan pendidikan bertaraf dunia dilaksanakan di negara ini, tetapi apa yang berlaku pada hari ini merupakan kenyataan yang harus dilihat secara serius agar pendidikan tidak diperkotak-katikkan.

Di Malaysia program latihan telah menjadi agenda nasional terutamanya dalam proses pembentukan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi. Oleh itu adalah satu perkara yang menarik untuk mengetahui tahap pemindahan latihan bagi program latihan yang dijalankan di negara kita.

Pelantikan jawatan Penolong Kanan Sekolah Rendah baru-baru ini telah membuktikan bahawa NPQH diabaikan. Kami yang dahulunya memegang jawatan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah, ada juga di kalangan kami yang telah memangku jawatan Guru Besar, terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak boleh dilantik ke jawatan hakiki Penolong Kanan kerana telah dilantik sebagai guru DG41 dan dianggap tidak memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan. Sedangkan, kami mempunyai pengalaman mengajar yang cukup lama.

Kami dikatakan akan mengisi jawatan-jawatan utama. Namun setelah 11 tahun masa berlalu dan tiada apa-apa perubahan kepada kedudukan peserta NPQH, ia dilihat sebagai satu kemenangan yang amat besar kepada golongan yang menentang perubahan berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu melihat semula dasar yang mengetepikan peluang pendidik untuk mencurahkan khidmat terbaik kepada sekolah. Kaji semula sistem pelantikan guru besar, jika perlu diubah maka lakukan segera.

Penghuluwati NPQH

Institut Aminuddin Baki

Utusan Malaysia Online: 1 Januari 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak cukup seorang guru tu berkhidmat lama, layak dilantik sebagai pengeua. banyak yang tak tahu mentadbir. sebaliknya lebih menimbulkan tekanan kepada guru-guru di sekolah dengan sikap bodoh sombong, tak terima teguran dan pendapat orang lain, seolah-olah mereka rasa diri mereka begitu hebat hanya kerana lama berkhidmat. macam pengetua sekolah saya di daerah Gombak, perempuan,sangat tidak menyenangkan hati semua warga sekolah. pegawai di PPD juga tahu masalah pengetua ini, tapi masih berdiam diri tanpa ada sebarang tindakan yang diambil bagi melegakan tekanan guru-guru di sekolah.

Tanpa Nama berkata...

Kepada yang tiada bernama,

Saya ingin mengulas apa yang telah anda katakan, tu pasal sikap bodoh sombong pengetua-pengetua yang macam penyu tua ni harus diubah. Sistem tu yang harus diubah! Artikel oleh penghuluwati tu menegaskan bahawa hanya guru yang mempunyai kelayakan NPQH yang layak menjadi pengurus sekolah. Bukan berdasarkan kekananan. Lagi 2/3 tahun mahu pencen baru jadi pengetua. Sudah terdapat penarikan Psikologi dan penarikan sosial pada penegtua tersebut maaaa. Tu pasal bagi tekanan pada orang lain, bikin kecoh dan kelam kabut sana sini. Lu cakap ikut hati la beb. Tak ikut otak. Bacala betul-betul artikel tu. Lu kata lu guru. So rasional la macam seorang guru. Satu jari lu tunjuk pada orang lain, empat jari tunjuk balik pada lu.
Lu pegi cari maklumat pasal NPQH tengok dia punya sukatan dan struktur program, sesiapa yang telah mempunyai sijil NPQH sudah semestinya mempunyai pengetahuan untuk mentadbir dan layak dilantik sebagai pengetua. Sudah tentu mereka ini mampu untuk menggerakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara sesuai dengan harapan dan aspirasi negara dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.