Selasa, 10 Mac 2009

MINDA PENGARANG: Demonstrasi jalanan, perarakan bukan penyelesai isu PPSMI

ERHIMPUNAN membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara yang bertukar kecoh ketika perarakan bagi penyerahan memorandum bantahan ke Istana Negara kelmarin amat dikesali. Kita yakin niat sebenar penganjur terutama Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain hanyalah menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara tetapi ada pihak ketiga termasuk pembangkang mengambil kesempatan untuk mengkucar-kacirkan keadaan. Nampaknya isu mengenai PPSMI ini bagaikan tiada kesudahan dan kerana itu, sesuatu perlu dilakukan bagi menanganinya secara bijaksana. Kita syorkan supaya kumpulan terbabit dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang membantah PPSMI untuk duduk semula berunding dengan Kementerian Pelajaran. Biar berbalah di meja rundingan berdasarkan fakta, bukan dipengaruhi emosi dengan memekik di jalanan yang boleh mendedahkan campur tangan pihak lain yang mempunyai motif dan agenda tersendiri mengambil kesempatan untuk mengkucar-kacirkan lagi keadaan dalam situasi politik tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Kita tidak mahu isu PPSMI ini dipolitikkan kerana bentuknya agak sensitif yang boleh menjurus kepada isu kaum. Kita juga ingin menegur GMP supaya tidak lagi menganjurkan majlis terbuka seperti itu, kerana ia terdedah kepada pendekatan 'politik jalanan' yang dibawa oleh parti pembangkang. Kita yakin Kementerian Pelajaran tidak akan menutup pintu kepada GMP jika mereka mahu berbincang. Malah, pihak kementerian sebelum ini sudah menyatakan akan membentangkan hasil kajian hala tuju pelaksanaan PPSMI kepada Kabinet sebelum akhir tahun ini. Namun dengan perkembangan terbaru ini, kementerian tidak harus mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan, terutama selepas beberapa perbincangan termasuk rundingan meja bulat sudah diadakan sebelum ini.

Apa juga keputusan yang akan diumumkan nanti, ia perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan untuk terus dimartabatkan, penguasaan bahasa Inggeris diperkasakan, kompetensi guru mengajar Sains dan Matematik diutamakan dan pencapaian murid dipertingkatkan. Jika empat perkara ini menjadi pegangan, tiada masalah untuk membuat keputusan yang mungkin boleh diterima semua. Walaupun PPSMI bertujuan baik, kecelaruan dalam pelaksanaan mungkin menyebabkannya menimbulkan masalah. Pengalaman negara lain dan hasil kajian pihak berkecuali juga perlu diambil kira sebelum keputusan muktamad mengenai isu ini dibuat. Sebagai contoh, semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilih ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman. Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 pula menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar Tingkatan Dua menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berita Harian Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: