KOTA KINABALU 11 Mac - Sentiasa mengambil berat setiap teguran dan pesanan guru menjadi resipi kejayaan Nor Shafazilah Asim pada Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.
Pelajar Sekolah Menengah All Saints itu berkata, walaupun adakalanya teguran itu berat untuk diterima tetapi ia sebenarnya banyak memberi kesan positif kepada disiplin dan kualiti pelajaran.
''Saya tidak menyangka boleh tergolong dalam kumpulan pelajar terbaik di SM All Saints ini kerana ada ramai lagi pelajar terbaik. Apa pun saya amat bersyukur dengan keputusan ini dan sangat berpuas hati dengan segala usaha yang dilakukan," katanya yang mendapat empat prinsipal 2A 2B pada peperiksaan STPM yang diumumkan semalam.
SM All Saints merupakan salah sebuah daripada 12 sekolah di Sabah yang mencatat kelulusan 100 peratus. Selain itu sekolah tersebut melahirkan seorang pelajar cemerlang seluruh Sabah, Sharon Yong Pei Yee yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.
Menurut anak kedua dari tiga beradik itu, dia tidak mengamalkan pembelajaran yang terlalu sistematik sebaliknya mengamalkan corak pembelajaran secara bebas.
''Hanya apabila semakin dekat peperiksaan saya melipatgandakan masa belajar. Selain itu saya juga banyak belajar secara berkumpulan,'' katanya.
Sementara itu, pelajar kelima terbaik sekolah itu, Nengcy Junit yang memperolehi keputusan 2A 2B, tidak menolak belajar secara berkumpulan lebih berkesan untuk memahami dan mengingati sesuatu fakta.
''Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu saya akan meluangkan masa bersama kawan-kawan untuk belajar khususnya selepas waktu persekolahan.
''Memanglah saya mempunyai jadual belajar sendiri, namun dengan cara belajar dalam kumpulan ia dapat memperbaiki kelemahan masing-masing walaupun konsep persaingan dalam kelas masih ada," katanya.
Utusan Malaysia Online: 12 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan