Isnin, 16 Mac 2009

Nahas: Guru, isteri mengandung maut

KOTA BHARU 15 Mac - Seorang guru bersama isteri yang sedang mengandung anak pertama mereka maut apabila kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Kampung Kok Lanas dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, mangsa, Mohd. Khairul Aziz Che Harun, 24 dan isterinya, Nur Ayunie Abdul Rahman, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu oleh Mohd. Khairul dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pasir Mas.

''Dia mengambil isterinya yang sedang mengandung empat bulan apabila selesai menjalani kursus jururawat di Kolej Jururawat Masyarakat di sana,'' ujarnya.

Beliau berkata, Mohd. Khairul yang sedang menjalani latihan pratikal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah dipercayai terbabas dan merempuh papan tanda.

''Kereta mangsa dipercayai berpusing beberapa kali sebelum terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan berkenaan.

''Pasangan terbabit yang baru berkahwin hampir dua tahun dan hampir menimang cahaya mata pertama mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Pasir Mas kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Dalam satu lagi kejadian, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Ibrahim Yahya, 46, maut manakala pelajar Giat Mara, Mohd. Khairul Mat Rani, 26, cedera apabila kereta masing-masing terlibat dalam kemalangan di km 22.2 Melawi-Pasir Puteh, kira-kira pukul 3 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kuala Besut, Terengganu.

Beliau berkata, kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda yang dipandu Mohd. Khairul yang berasal dari Kampung Pauh Lanja, Tumpat.

Utusan Malaysia Online: 16 Mac 2009

Tiada ulasan: