Jumaat, 13 Mac 2009

Prestasi calon SPM 2008 catat peningkatan



PELAJAR Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur gembira mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM mereka, semalam.

KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 diumumkan semalam menyaksikan hampir semua negeri mencatatkan prestasi memberangsangkan dari segi peningkatan jumlah calon memperoleh pangkat A dan mendapat sijil penuh.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak, berkata walaupun keputusan mencatatkan sedikit menurun, calon mendapat A bagi semua mata pelajaran meningkat kepada 595 orang atau 3.15 peratus daripada 476 pada 2007.

Katanya, 158 calon mendapat keputusan penuh A1 bagi semua subjek berbanding 98 pada tahun sebelumnya dan 437 lagi memperoleh A1 dan A2, meningkat daripada 378 pada 2007, manakala daripada keseluruhan 19,090 calon, 16,789 berjaya mendapat sijil.


Di JOHOR BAHRU, seramai 218 atau 0.48 peratus daripada keseluruhan 53,277 calon mendapat keputusan penuh A1 termasuk dua memperoleh 13 A1, meningkat daripada 77 orang pada 2007 manakala 565 calon lagi memperoleh A1 dan A2.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin, berkata 40,379 calon berjaya mendapat sijil, menurun sebanyak 0.15 peratus berbanding 2007 manakala 36 sekolah mencapai keputusan 100 peratus.

Di SEREMBAN, seramai 461 calon memperoleh A1 atau A2 semua mata pelajaran, meningkat 0.7 peratus atau 124 orang berbanding 337 calon pada 2007.

PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Muzaffar Shah Melaka, meraikan kejayaan mereka semalam.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Jamali Salam, berkata secara keseluruhan 15,471 atau 90.7 peratus calon sekolah kerajaan layak mendapat sijil SPM.

Di SHAH ALAM, Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz, berkata calon memperoleh keputusan penuh A1 meningkat daripada 200 orang pada 2007 kepada 317 calon tahun lalu daripada keseluruhan 58,804 calon.

Di MELAKA, seramai 259 daripada 12,625 calon memperoleh 1A dan 2A dalam semua mata pelajaran, pertambahan 71 calon berbanding 2007 manakala 11,807 atau 93.52 peratus calon mendapat sijil.

Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu, berkata 84 calon mendapat keputusan penuh A1, meningkat 58.4 peratus berbanding 2007 dan 175 calon lagi mendapat keputusan penuh A2.

SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti seminar Skor Berita Harian dari Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, meraikan kejayaan mereka, semalam.

Di KOTA KINABALU, seramai 29,426 atau 95.01 peratus daripada 31,482 calon berjaya mendapat sijil, meningkat 0.28 peratus berbanding 94.73 peratus atau 28,451 orang pada 2007, sekali gus mengatasi prestasi peringkat kebangsaan iaitu 91 peratus.

Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh, berkata 106 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran diambil berbanding 94 pada 2007, manakala calon lulus semua mata pelajaran bertambah kepada 13,812 daripada 13,211 orang pada 2007.

Di KUCHING, Sekolah Menengah Sains (SMS) Miri dan SMS Kuching lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran, manakala 11 sekolah luar bandar mencatatkan keputusan cukup memberangsangkan dalam kelompok 50 sekolah berprestasi baik.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata seramai 30,711 atau 92.1 peratus daripada 33,358 calon sekolah menengah kebangsaan mendapat sijil SPM.

Di GEORGETOWN, sebanyak 19 sekolah di Pulau Pinang lulus 100 peratus semua mata pelajaran dengan SMKA Al-Irshad, SMS Tun Syed Sheh Shahabudin dan SMJK Jit Sin muncul tiga sekolah terbaik.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata 17,418 daripada 22,317 calon layak mendapat sijil dan 407 daripada mereka memperoleh A bagi semua subjek, termasuk 159 mendapat keputusan penuh A1 dan 18,895 mendapat A1 hingga G9.

Di IPOH, Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Ab Jabar, berkata 143 daripada 38,110 calon memperoleh keputusan penuh A1 berbanding 80 calon tahun sebelumnya.

Di KEDAH, seramai 113 daripada 30,726 calon mendapat keputusan penuh A1, meningkat 300 peratus berbanding 39 calon pada 2007, manakala 402 calon mendapat A bagi semua subjek berbanding 246 orang bagi tahun sebelumnya.

Di KANGAR, Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, berkata 60 daripada 4,603 calon mendapat A semua mata pelajaran, termasuk 12 mendapat keputusan penuh A1, manakala kelulusan keseluruhan meningkat 0.42 peratus berbanding 2007 apabila 4,279 calon layak mendapat sijil.

Berita Harian Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: