Khamis, 12 Mac 2009

Mentor: Tanam minat murid cintai muzik

Oleh Aminudin Ismail
rencana@hmetro.com.my



MENGAJAR murid sekolah rendah mengenai muzik bukan mudah kerana selain memerlukan tumpuan dan penerangan yang betul, guru perlu menanam minat mereka mempelajari subjek itu kerana bukan semua murid meminati muzik.

Sejak diperkenalkan pada 1988, muzik menjadi subjek wajib bagi murid sekolah rendah bermula tahun satu hingga enam. Dalam seminggu, mereka perlu hadir sejam untuk kelas muzim.


Guru muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Chalok Barat, Setiu, Razali Mohd Husin, berkata walaupun subjek muzik itu tidak termasuk dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), murid perlu mempelajarinya.

“Selain berhibur, murid juga boleh mengenali alat muzik moden dan tradisional serta mengetahui sedikit sebanyak mengenai muzik.

“Subjek muzik tidaklah penting seperti Matematik atau Sains tetapi perlu diajar kepada murid supaya mereka boleh berhibur sambil belajar dan mengurangkan tekanan.

Razali mengajar subjek muzik sejak 12 tahun di dua sekolah, berkata, antara perkara asas yang diajar berkaitan subjek muzik ialah notasi, alat-alat muzik dan jenis-jenis muzik.

“Di negara kita, terdapat pelbagai jenis muzik contohnya zapin, joget, masri, etnik dan patriotik. Oleh itu, dalam subjek ini, murid akan diajar cara bermain alat muzik dan menyanyi.

“Walaupun sukar memahami apa yang diajar, mereka tetap menunjukkan minat mendalam dan tekun belajar,” katanya.

Di samping itu, melalui subjek itu, mereka boleh belajar bermain alat tradisional yang semakin terpinggir seperti kompang dan seruling.

“Jika meminati nasyid, subjek itu juga mengajar murid bagaimana menjadi penyanyi nasyid yang baik melalui nada suara dan kini, kebanyakan sekolah mempunyai kumpulan nasyid sendiri,” katanya.

Razali berkata, bagi murid yang berbakat, mereka boleh diketengahkan untuk menjadi penyanyi atau pengubah lagu apabila menamatkan pelajaran.

Subjek yang diperkenalkan sejak 20 tahun yang lalu bakal melahirkan lebih ramai pencipta lagu muda untuk memeriahkan industri muzik tanah air dan menjadi kerjaya yang menjamin masa depan.



Profil

NAMA: Razali Mohd Husin.

Umur: 35 tahun.

Asal: Kampung Peria, Kuala Krai, Kelantan.

Kelulusan: Diploma Perguruan, Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu (1997).

Jawatan: Guru Sains, Muzik dan Teknologi Maklumat (IT)

Pengalaman Mengajar: 12 tahun.

Nama Sekolah: SK Kampung Bukit, Setiu (1997 hingga 2002) SK Chalok Barat (2003 hingga sekarang).

myMetro: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: