Rabu, 25 Mac 2009

Sekolah Terbilang: Sekolah warisan

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my


ZULKIPLI menunjukkan seragam yang menjadi sebahagian barangan koleksi di Muzium Mini Tun Hussein Onn, MSAB, baru-baru ini.

Maktab Sultan Abu Bakar sasar gemilang kurikulum, kokurikulum menjelang 2010

JIKA negeri Perak berbangga dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula Victoria Institution, rakyat Johor juga boleh berbangga kerana mempunyai institusi pendidikan warisan seumpamanya, iaitu Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Namun nama maktab itu mungkin asing bagi sesetengah penduduk negeri selatan Semenanjung itu kerana ia terletak di Jalan Sungai Chat, Johor Bahru, yang sering dirujuk dengan panggilan EC atau 'English College'.

Bagi sekolah yang genap 95 tahun penubuhannya pada Sabtu lalu, MSAB menyimpan pelbagai lipatan sejarah seiring dengan usianya sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Menyingkap sejarah penubuhannya, ia dikenali dengan nama EC selepas ditubuhkan pada 21 Mac 1914 di Istana Jalan Sungai Chat dengan 21 pelajar dipilih sebagai perintis nukleus dari Sekolah Bukit Zahrah, Johor Bahru.

Setelah itu, EC melalui pelbagai rintangan dan cabaran bukan saja di kalangan pelajarnya, malah sekolah itu sendiri kerana ia pernah dijadikan sebagai kilang senjata pada zaman penjajahan Jepun dengan bangunannya dicat dengan warna hitam.

ANTARA tokoh yang mendapat pendidikan di MSAB.

Pengetua MSAB, Zulkipli Mahmud, berkata nama MSAB ditukar secara rasmi pada 1960 selepas negara mencapai kemerdekaan dan ia memberikan imej tempatan, namun nama EC tetap dikekalkan sebagai tanda kenangan.

"Sekolah ini, melahirkan ramai bekas pelajar yang menabur bakti kepada negara sebagai pemimpin. Antaranya Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail dan Tan Sri Mohamed Rahmat.

"Malah, Sultan Johor, Sultan Iskandar serta anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris turut mendapat pendidikan di sini.

"Ia sememangnya menjadi kebanggaan sekolah ini, guru serta pelajarnya sehingga kini. Pada masa sama, ia sebagai suntikan semangat kepada pelajar yang sedang menuntut supaya berusaha mencapai kejayaan seperti bekas pelajar MSAB," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

KOLEKSI buku yang memberi inspirasi kepada warga MSAB disusun rapi di Sudut Buku Rujukan institusi pendidikan itu.

Beliau berkata, MSAB dilengkapi asrama yang mampu menampung 100 pelajar kini mempunyai kira-kira 1,400 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam Atas, bagaimanapun pelajar lelaki hanya dari Tingkatan Satu hingga Lima.

Berbekalkan visi 'MSAB (EC) Gemilang Tahun 2010', Zulkipli berkata, pihak sekolah amat menitikberatkan kecemerlangan akademik tetapi pada sama mahu kejayaan kokurikulum turut dicapai pelajarnya.

Katanya, dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, maktab itu sentiasa berusaha mengekalkan kelulusan 100 peratus atau sekurang-kurangnya 95 peratus.

"Sekolah ini bertaraf Sekolah Premier pada 2006 dengan semua pelajar yang memasuki Tingkatan Satu di sini, perlu memperoleh sekurang-kurangnya 4A dalam UPSR.

"Sebab itu, saya sering menekankan kepada guru di sini supaya tidak ada sebab pelajar MSAB tidak boleh berjaya kerana mereka mempunyai asas pelajaran yang cemerlang ketika UPSR," katanya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa MSAB yang mempunyai 118 tenaga pengajar serta 22 staf sokongan turut menempatkan pelajar di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat penglihatan serta rabun.

Zulkipli berkata, pelajar OKU terbabit ditempatkan di Unit Pendidikan Khas yang ditubuhkan sejak 1967 dan sehingga kini, ramai pelajar berkenaan mencipta kegemilangan dalam bidang akademik.

Buat masa ini, katanya, terdapat 29 pelajar OKU yang dibantu dua guru khas.

Beliau berkata, dalam bidang kokurikulum pula, MSAB tidak boleh dipisahkan dengan sukan hoki, bola sepak serta ragbi dan pelbagai kejayaan dan kegemilangan dalam sukan berkenaan diraih.

"Motto sekolah ini adalah ‘Usaha dan Jasa’, dengan lencana sekolah hanya mempunyai dua warna iaitu kuning sebagai tanda kesetiaan kepada raja serta negara dan hijau melambangkan kesucian.

"MSAB diasaskan Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar dan ia adalah warisan negeri ini dan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah Johor Bahru dan Johor amnya," katanya.

Berita Harian Online: 25 Mac 2009

Tiada ulasan: