Khamis, 12 Mac 2009

KGS saran PPSMI diteruskan

SIBU 10 Mac - Kesatuan Guru Sarawak (KGS) meminta kerajaan meneruskan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, William Ghani Bina berkata, dasar itu perlu dikekalkan sesuai dengan hasrat kerajaan mahu melahirkan pelajar yang mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

''Jika dimansuhkan ia akan membuatkan pelajar bercelaru, sekejap bahasa Inggeris, sekejap bahasa Melayu.

''Pendidikan merupakan soal penting dalam menentukan kualiti sumber manusia negara pada masa depan dan ini perlu dipandang serius," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Malah menurut beliau, kerajaan telah memperuntukkan wang yang banyak untuk melaksanakan PPSMI.

''Dasar ini tidak boleh dilihat sebagai usaha meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan, kita memang akur bahawa bahasa Melayu amat penting dan perlu dikuasai serta dimartabatkan," katanya.

Menurutnya, penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik merupakan cara untuk memahirkan para pelajar dalam menguasai bahasa antarabangsa itu.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: