KAMPUNG SUNGAI SENAM - Sebuah bas sekolah yang membawa penumpang seramai 37 orang orang pelajar serta seorang guru pengiring terbabas dan terjunam ke dalam gaung pada jam kira-kira 3.15 petang, semalam.
Ketua Balai Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustafa, berkata, bas berkenaan dalam perjalanan menghantar penumpang yang terdiri daripada pelajar Sekolah Model Khas Jenun, Pendang ke Puncak D’Beris, Empangan Beris, Sik.
Menurutnya, seramai lapan orang pelajar cedera parah dan terpaksa ditahan di wad, sementara pemandu bas turut tercedera dalam kejadian berkenaan, manakala pelajar-pelajar lain serta guru pengiring menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Namun kami amat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan, kesemua penumpang termasuk pemandu terselamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Sik sejurus selepas kejadian.
“Antara punca yang dikenal pasti dan dipercayai menjadi penyebab kepada kemalangan itu adalah sistem kawalan brek yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna dan punca kedua pemandu bas tidak mahir dengan keadaan jalan di kawasan ini,” katanya.
Dia berkata, kesemua penumpang itu dipercayai akan mengikuti satu Program Kursus Jati Diri yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Puncak D’Beris mulai 12/3/2009 sehingga 14/3/2009.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Menyelamat Daerah Sik, Balai Bomba Sik, Ibrahim Wahab, berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.45 petang daripada unit Trafik, Balai Polis Sik.
“Kami kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dengan enam orang anggota bomba dan mengambil masa tujuh minit untuk sampai ke tempat kejadian.
“Laporan yang kami mengatakan dua penumpang bas tersepit di dalam bas dan gagal dikeluarkan oleh penduduk yang ada di situ,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam bas, seorang guru pengiring dan seorang pelajar lelaki yang berada berdekatan dengan tempat duduk pemandu di bahagian hadapan.
“Mangsa berada dalam keadaan agak kritikal kerana tersepit antara kusyen tempat duduk, namun atas kerja keras yang dilakukan, pihak kami berjaya mengeluarkan mangsa tanpa perlu mengubah kedudukan bas,” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Belantek, Mohd Tajudin Abdullah, pihaknya menyediakan makanan kepada mangsa dan juga petugas yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat dalam kejadian itu.
Sinar Harian : 13 Mac 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan