Sabtu, 14 Mac 2009

SMK Seri Bera kekal cemerlang


NURUL Amira Zaimy (tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya berkongsi kegembiraan kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM di SMK Seri Bera, Bera, kelmarin.


BERA 13 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera di sini mengekalkan reputasi cemerlang apabila muncul sebagai sekolah terbaik lima tahun berturut-turut di daerah ini.

Ia berikutan kejayaan sekolah itu memperoleh kelulusan 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan semalam.

Pengetua SMK Seri Bera, Sapiah Abdul Jalil berkata, dalam keputusan itu, seramai dua pelajarnya mendapat 10 1A dan tiga lagi memperoleh 9 1A.

Katanya, pelajar terbabit ialah Nor Amaliana Syazwani Mohd. Yusof yang mendapat 10 1A, Nurul Amira Zaimy (10 1A), Nur A'Arsyi Asyikin Md. Arshad (9 A1 dan 2 1B), Nor Kamilah Nordin (9 1A 2 1B) dan Mohd. Afiq Khairul Anuar (9 1A 2 1B).

''Ramai calon memperoleh 6 1A dan 7 1A sekali gus menjadi pencapaian kali ini yang terbaik dalam tempoh 10 tahun,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Sapiah memberitahu, antara rahsia kejayaan ialah strategi pelaksanaan program bimbingan dan 'Lonjakan Sarjana' selain komitmen guru, pelajar dan ibu bapa.

Tambah beliau, sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap agenda kecemerlangan sekolah memberi kesan positif terhadap pencapaian pada tahun ini.

Sementara itu, Nor Kamilah ketika ditemui berkata, dia bangga dengan keputusan yang dicapai itu setelah bertungkus lumus berusaha sejak di tingkatan empat lagi.

Anak pengurus Felda Temangau 2 di sini mengakui dengan menumpukan perhatian semasa guru mengajar dalam kelas, bertanya dan membuat latihan antara faktor kejayaannya.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang banyak memberi nasihat dan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan,'' katanya.

Rakannya, Nurul Amira berkata, kejayaan yang dicapai itu tidak datang bergolek sebaliknya dihasilkan menerusi usaha gigih secara berterusan.

Menurutnya, belajar secara berkumpulan dapat menguatkan lagi kefahaman dan ingatannya terhadap sesuatu mata pelajaran yang dibincangkan.

''Saya bangga kerana dapat membantu mengekalkan prestasi sebagai sekolah terbaik daerah Bera setiap tahun," kata anak kepada seorang guru itu.

Bagi Nur A'Arsyi Asyikin, sesiapa sahaja boleh berjaya jika berusaha dengan tekun selain taat kepada suruhan agama.

''Belajar secara berkumpulan dan sering bertanya jika tidak memahami sesuatu subjek boleh membantu meningkatkan kefahaman," kata anak peneroka Felda Mayam di sini.

Seorang lagi pelajar yang mendapat 8 1A, Wan Farhana Wan Azami, kejayaan yang diperoleh itu hanya permulaan untuk melangkah lebih jauh.

''Saya bercita-cita menjadi jurutera dan akan memohon universiti tempatan yang menawarkan kursus kejuruteraan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 Mac 2009

Tiada ulasan: