Khamis, 12 Mac 2009

Jawab soalan dalam BI meningkat

KUALA LUMPUR 10 Mac - Bilangan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 seluruh negara yang menjawab subjek berteraskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, sebanyak 92.7 peratus calon tahun lalu menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dalam tujuh mata pelajaran yang disediakan secara dwi bahasa, berbanding 91.9 peratus pada tahun 2007.

Beliau berkata, subjek-subjek dwi bahasa itu ialah Matematik S; Matematik T, Matematik Lanjutan T, Pengkomputeran, Fizik, Kimia dan Biologi, yang membolehkan calon menjawab sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris.

"Saya berpendapat, calon-calon STPM semakin selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana dalam peperiksaan, para pelajar biasanya tidak mahu mengambil risiko," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, bilangan calon tahun lalu yang mendapat 5A iaitu A dalam semua mata pelajaran menurun kepada 13 orang, berbanding 25 pada tahun sebelumnya.

Selain itu katanya, buat pertama kali, peratusan calon luar bandar aliran sains yang mendapat 5A, 4A, dan 3A mengatasi calon-calon di bandar dengan 14.81 peratus, berbanding 12.99 peratus di bandar.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya, jurang prestasi antara calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar apabila bilangan yang mendapat 5A, 4A dan 3A dengan 10.39 peratus, berbanding calon luar bandar iaitu sebanyak 6.77 peratus," jelasnya.

Menurutnya, sebanyak 92.26 peratus calon STPM lalu lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, berbanding 91.61 peratus dalam peperiksaan 2007, iaitu peningkatan sebanyak 0.65 peratus.

Secara keseluruhan katanya, bilangan calon STPM seluruh negara menurun apabila hanya 53,638 calon mendaftar tahun lalu, berbanding 66,048 calon yang mendaftar pada tahun 2007.

Di Selangor, sebanyak 3,540 pelajar atau 96.27 peratus daripada 3,809 pelajar di seluruh negeri itu lulus penuh dalam peperiksaan STPM lalu.

Dua daripada mereka pula, Neo Jia Hui dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya dan Cheh Ghoon Hoong (SMK Katholik, Petaling Jaya) diumumkan sebagai calon cemerlang STPM 2008 peringkat kebangsaan.

Pengarah Pelajaran Selangor, Dr. Zahri Aziz berkata, bilangan pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM tahun lalu meningkat 1.91 peratus berbanding keputusan 2007 iaitu 94.36 peratus.

Di Melaka, sebanyak 96.01 peratus daripada 1,254 calon yang menduduki STPM 2008 di negeri itu lulus penuh, iaitu meningkat berbanding 2007.

Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Isa Abu berkata, jumlah tersebut meningkat 0.03 peratus iaitu 1,204 pelajar berbanding 1,692 pelajar yang memperoleh lulus penuh pada tahun sebelumnya.

Di Johor Bahru, jumlah calon yang lulus penuh merosot 0.08 peratus berbanding pencapaian 96.80 peratus tahun 2007.

Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Sufa'at Tumin memberitahu, daripada 4,902 calon STPM di negeri itu tahun lalu, hanya 4,741 pelajar iaitu 96.72 peratus calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil.

Di Seremban, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Mohammad berkata, lima calon STPM tahun lalu memperoleh prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan Purata Nilai Gred Kertas (PNGK) 4.00.

Sementara itu beliau memberitahu, seramai 94 calon pula berjaya memperoleh keputusan 5 Prinsipal di negeri berkenaan, daripada 1,553 calon yang mengambil peperiksaan tersebut tahun lalu.

Di Perak, hanya 31 daripada 4,487 calon yang menduduki STPM 2008 lalu muncul sebagai pelajar cemerlang.

Pengarah Pelajaran negeri itu, Mohd. Radzi Abd. Jabar bagaimanapun berkata, secara keseluruhan, sebanyak 4,311 calon di Perak lulus penuh iaitu 96.7 peratus, sekali gus mengatasi pencapaian nasional yang mencatatkan 94.79 peratus

Sementara itu, terdapat 2,946 calon STPM berdaftar di Pulau Pinang tahun lalu dengan 2,411 daripadanya merupakan pelajar sekolah kerajaan manakala selebihnya adalah pelajar swasta serta persendirian.

Berdasarkan keputusan tahun lalu, sebanyak tujuh sekolah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding enam buah pada tahun sebelumnya.

Di Alor Setar, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abd. Rahman berkata, sebanyak 18 sekolah di negeri itu mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM lalu.

Katanya, prestasi calon STPM di negeri itu juga mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 95.69 peratus pelajar daripada 4,008 calon berdaftar mendapat keputusan lulus penuh, berbanding 93.63 peratus pada 2007.

Di Terengganu, seramai 2,750 calon STPM 2008 di negeri itu lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri berkenaan, Ariffin Embong berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan 1.66 peratus berbanding 2,603 calon STPM yang lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada 2007.

Di Kota Kinabalu, seramai 5,122 calon atau 88.49 peratus daripada 6,129 pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK) di seluruh Sabah lulus penuh dalam peperiksaan STPM tahun lalu.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Normah Gagoh berkata, daripada jumlah itu, 276 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P) dan 1,668 berjaya mendapat 4P.

Di Kuantan, seramai 2,401 daripada 2,500 calon STPM lalu berjaya mendapat kelulusan penuh.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, statistik itu membanggakan apabila ia meningkat 1.58 peratus berbanding 2007.

Di Kota Bharu, keputusan STPM tahun lalu adalah lebih baik dengan 95.46 peratus daripada bilangan calon berdaftar lulus, iaitu meningkat 1.97 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 93.49 peratus.

Menurut Pengarah Pelajaran Kelantan, Ghazali Ab. Rahman, jumlah calon yang memperoleh lima 5P di negeri ini turut meningkat iaitu seramai 1,208 orang berbanding 1,158 orang pada tahun 2007.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: